Dari mana bajet pilihan raya hendak diambil? soal Sin Chew Jit Poh | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 08 Oct 2022 08:02 AM

Dari mana bajet pilihan raya hendak diambil? soal Sin Chew Jit Poh

 

 

MESYUARAT Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan minggu lepas, mencapai kata sepakat memutuskan untuk mengadakan PRU15 dalam tahun ini juga.

 

Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob merangkap Perdana Menteri akan mencadangkan tarikh pembubaran Parlimen kepada Yang di-Pertuan Agong bagi memberi laluan kepada PRU15.

 

Kebelakangan ini, pelbagai spekulasi mengenai tarikh PRU15 diperdebatkan. Apabila puak pimpinan tertinggi UMNO yakin akan memenangi pilihan raya umum tahun ini, bagi membentuk kerajaan yang kukuh dan stabil,  secara automatik Ismail Sabri juga yakin Barisan Nasional (BN) boleh mendapatkan semula kepercayaan pengundi untuk membentuk kerajaan baharu.

 

Cuma strategi yang diambil Ismail Sabri adalah berbeza dengan pucuk pimpinan UMNO.

 

Sebelum ini, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menegaskan bahawa UMNO sudah bersedia sepenuhnya untuk menghadapi PRU dan tidak takut meskipun berhadapan dengan banjir.


 

apa

 


Kenyataan beliau telah mendapat kecaman hebat daripada parti lawan kerana dianggap mengabaikan keselamatan rakyat.

 

Desakan PRU15 pada musim hujan dan banjir telah menjadi isu debat baru antara parti pemerintah dan pembangkang.

 

Sehinggakan ada yang membuat andaian Belanjawan 2023 mungkin tidak dapat dibentangkan, bagi memberi laluan kepada pembubaran Parlimen.

 

Imbas kembali, PRU14 telah membawa kepada perubahan dalam pemerintahan dan mengubah landskap politik negara.

 

Kemudian ‘Langkah Sheraton 2020’ memudaratkan lagi kemelut politik Malaysia, tumbangnya kerajaan Pakatan Harapan (PH), pergelutan antara Perikatan Nasional (PN) dan BN yang tiada kesudahan, seterusnya menyaksikan pula PM bertukar daripada Muhyiddin Yassin kepada Ismail Sabri.

 

Rakyat mula mengambil sikap acuh tidak acuh terhadap politik, ditambah pula dengan serangan wabak COVID-19 yang menyebabkan dua tahun sekatan negara, ekonomi negara menjadi kian sempit dan rakyat hidup dalam kesukaran.

 

Walaupun hari ini, penularan wabak semakin perlahan dan sektor ekonomi dibuka sepenuhnya semula.


 

apa

 


Perang Rusia-Ukraine telah menjejaskan ekonomi global dan mencetuskan inflasi.

 

Malaysia juga tidak terlepas daripada berdepan kesan negatif termasuklah ancaman bekalan makan.

 

Dalam hal ini, UMNO percaya mereka dapat membentuk kerajaan yang kuat untuk menangani kemungkinan kemelesetan besar ekonomi pada tahun depan.

 

Jadi jika PRU15 tidak diadakan pada tahun ini juga, keadaan ekonomi negara pastinya semakin terancam.  

 

Oleh kerana belanjawan adalah berkaitan dengan operasi kerajaan, pembangunan negara dan kesejahteraan rakyat, maka ia mesti dikemukakan kepada Parlimen dan dibahaskan dalam masa yang ditetapkan.

 

Dan UMNO begitu yakin apabila menang pilihan raya, belanjawan yang akan dibentangkan kemudian akan lebih sempurna.

 

Sebaliknya pula jika BN gagal menang majoriti kerusi dan terpaksa membentuk kerajaan campuran dengan parti-parti lain, kertas cadangan belanjawan juga sedikit sebanyak akan terusik.

 

Namun tindakan UMNO menekan PRU15 diadakan tahun ini mendapat kecaman kerana ‘mengorbankan wang’ untuk pilihan raya hanya akan menjejaskan fungsi negara.


 

apa

 


Jika Parlimen dibubarkan selepas sahaja Belanjawan 2023 dibentangkan, ia akan menjadi sia-sia kerana rang undang-undang tidak akan menjadi undang-undang jika hanya diluluskan dalam Dewan Rakyat sahaja.

 

Selepas kerajaan baharu terbentuk, mereka mempunyai pilihan sama ada mahu membentangkan semula belanjawan yang sama atau mencadangkan versi yang baru.

 

Tindakan mendahulukan politik berbanding kepentingan ekonomi secara menyeluruh, sangat mengecewakan dan rakyat menjadi mangsa.

 

Rakyat tidak menaruh harapan yang tinggi terhadap belanjawan kali ini, cuma mengharapkan agar ia dapat membantu mengatasi krisis inflasi global dan meningkatkan pertumbuhan ekonomi pada tahun depan.

 

Bak kata Menteri Kewangan, rancangan fiskal tahun depan adalah untuk membantu rakyat dan memulihkan perusahaan terlebih dahulu, tetapi pada masa yang sama memperbaiki inflasi yang menyebabkan penurunan nilai ringgit. Ini adalah isu utama yang perlu diselesaikan oleh kerajaan baru nanti.

 

Hari ini, kita bukan lagi menghadapi masalah ‘kekurangan peluang pekerjaan’, tetapi masalah ‘pengangguran sukarela’ kerana tidak puas hati dengan gaji yang yang ditawarkan.

 

Anak muda pula lebih suka duduk rumah menjadi ‘orang tua’. Jika fenomena sosial ini tidak diselesaikan, maka langkah penambahbaikan peluang pekerja yang diketengahkan oleh Kementerian Kewangan tidak akan menyelesaikan masalah.


 

parafrasa

 


Selain itu, mengekang inflasi adalah salah satu cara untuk menyelesaikan kos sara hidup yang tinggi.

 

Perlu ditekankan bahawa inflasi adalah krisis ekonomi terbesar yang perlu kita hadapi pada tahun depan.

 

Apabila Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS) nekad menaikkan kadar faedah, negara di seluruh dunia terkesan dengan peningkatan harga secara mendadak dan hutang asing menjadi sangat tinggi membawa kepada risiko kemelesetan ekonomi yang serius di setiap negara.

 

Ada pakar ekonomi berkata bahawa AS cuba mengekang inflasi di negara sendiri dengan ‘mengeksport’ inflasi ke seluruh dunia.

 

Malaysia bernasib baik kerana bergantung kepada minyak, produk pertanian dan industri tradisional untuk menyokong pasaran supaya ia dapat mengekalkan lebihan dagangan.

 

Bagaimanapun, kejatuhan nilai ringgit ke paras terendah baharu 4.88 ringgit berbanding dolar AS, akan berterusan menyebabkan inflasi kerana kenaikan harga import.


 

apa

 


Inflasi yang tinggi dan kemelesetan ekonomi adalah trend umum yang akan dihadapi oleh seluruh dunia pada tahun depan.

 

Sukar untuk Malaysia bertahan dalam persekitaran ekonomi yang teruk. Jadi jangan kata ‘Malaysia tidak menghadapi krisis ekonomi!’

 

Sudah tentu belanjawan tahun ini lebih menumpukan kepada pilihan raya, pasti adanya ‘gula-gula’ yang akan disajikan.

 

Tetapi dari mana wang yang diperuntukkan dalam belanjawan itu diperoleh? Sama ada perlu untuk meminjam terutamanya menambah hutang asing, perkara ini adalah wajar untuk diberi perhatian. - DagangNews.com

 

Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh 5-7 Oktober 2022 dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini. 

 

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI ARTIKEL APA KATA MEDIA CINA