Media Cina seru sokong realisasi Ekonomi Madani | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
Apa Kata Media Cina - 31 July 2023

MEDIA CINA SERU SOKONG REALISASI EKONOMI MADANI

Sin Chew Jit Poh & Nanyang Siang Pao 25-27 Julai

 

 

PADA 27 Julai 2023, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pelan hala tuju ekonomi baharu yang dinamakan sebagai Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat.

 

Kerangka yang merangkumi pelbagai aspek, daripada matlamat makro kepada reformasi institusi yang disasarkan dan langkah-langkah untuk menjaga rakyat.

 

Tetapi Anwar tidak menyebut dasar-dasar baru yang khusus dalam ucapan pembentangannya. Mungkin Ekonomi Madani akan lebih jelas sehingga jabatan-jabatan utama mengumumkan pelan tindakan dan butiran agenda pembangunan masing-masing.


 

anwar

 


Usaha PM harus mendapat sokongan

Menurut Anwar, menerusi Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat, masalah kemiskinan tegar dapat diselesaikan pada hujung tahun ini. Kerajaan akan giat mempromosikan Inisiatif Pendapatan Rakyat (IPR) supaya rakyat termiskin berpeluang memperbaiki kehidupan dengan menambah pendapatan tanpa bergantung kepada bantuan.

 

Pada masa ini, terdapat 130,000 keluarga miskin di negara kita yang berada di tahap miskin tegar. Dan menyelesaikan masalah ini pasti akan membawa harapan kepada keluarga ini keluar daripada belenggu miskin tegar.

 

Semasa pentadbiran sembilan PM yang lepas, belum berjaya dalam menghapuskan isu kemiskinan tegar. Jika Anwar berjaya mencapai matlamat ini dalam tempoh lima bulan, sudah pasti akan menjadi pencapaian yang memecah rekod dan luar biasa.

 

Di samping itu, satu lagi matlamat Anwar adalah untuk menjadikan Malaysia berada di kedudukan 30 ekonomi dunia terbesar dunia dalam tempoh 10 tahun dari kedudukan 37 pada masa sekarang.

 

Penambahbaikan kedudukan ekonomi bukan sahaja dapat meningkatkan reputasi dan pengaruh negara, tetapi juga membantu menarik pelaburan asing, meningkatkan taraf hidup domestik dan menarik bakat berkualiti tinggi untuk bekerja di Malaysia. Ini akan memberi sokongan padu kepada pembangunan negara.

 

Anwar juga percaya dengan penstrukturan semula ekonomi, negara akan menjadi perintis ekonomi Asia Tenggara, seiring dengan Singapura. Jika benar-benar berjaya, ringgit mungkin kembali ke paras kegemilangannya berbanding dolar Singapura pada masa itu.

 

Bukankah ini yang diimpikan oleh semua orang? Bukankah ini dapat mengurangkan jumlah rakyat negara bekerja di Singapura.


 

madani

 


Semangat PM yang penuh keyakinan meskipun berkuasa belum sampai setahun. Bukankah kita patut memberi peluang kepadanya untuk menunaikan hasrat itu?

 

Kebiasaan yang sama

Bagaimanapun seolah-olah seperti kebiasaan yang sama, Anwar juga turut mengumumkan pemberian kredit e-tunai RM100 kepada individu dewasa yang berpendapat RM100,000 setahun dan bantuan khas RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah.

 

Bantuan RM200 seorang turut diagihkan kepada pesara kerajaan dan kerajaan juga berjanji akan menyelaraskan gaji penjawat awam mengikut kemampuan kewangan kerajaan.

 

Bantuan ini akan memberi manfaat kepada 1.3 juta penjawat awam termasuk pelantikan kontrak dan lebih 1 juta pesara. Anwar berkata, insentif ‘permulaan’ ini adalah dengan harapan penjawat awam akan terus bekerja keras dan menyokong pelaksaaan visi reformasi.

 

Tetapi, kenapa cara ini seperti sudah biasa kita lihat?

Seorang Menteri Kewangan yang begitu murah hati, pasti ada perancangan yang bijak untuk memastikan perbendaharaan mempunyai hasil fiskal yang mencukupi untuk menampung perbelanjaan tambahan ini. Tidak perlu bimbang tentang defisit fiskal dan isu hutang, serta tidak akan menjejaskan kestabilan ekonomi dan pembangunan mampan negara.

 

Pemberian gaji dan bonus yang lebih tinggi kepada penjawat awam bermakna kualiti dan kecekapan bekerja juga akan meningkat. Pada masa itu, sudah tentu kita tidak mahu melihat kaunter pejabat rasmi kosong kerana semua orang pergi ke tandas.


 

madani

 


Perbelanjaan kerajaan untuk penjawat awam adalah tinggi. Jika menerima kenaikan gaji, beban kerajaan akan menjadi lebih berat dan ini bertentangan dengan strategi reformasi ekonomi.

 

Walaupun pengagihan bantuan adalah cara kerajaan menunjukkan belas ihsan kepada rakyat dalam masa sukar. Tetapi Ekonomi Madani masih tidak dapat menawarkan dasar pembaharuan ekonomi yang lebih baharu dan lebih progresif. Akibatnya, tumpuan diberikan kepada pertikaian mengenai pengagihan bantuan dan sia-siakan usaha Kerajaan Perpaduan.

 

Daripada kerajaan sehinggalah pembangkang, ahli politik menjadikan pengagihan wang sebagai misi untuk berjaya. Dalam keadaan ekonomi baik, mereka akan menggunakan alasan ‘kongsi agar semua boleh merasa’.

 

Bila ekonomi dalam keadaan tidak baik, kita akan dengar alasannya ‘tolong antara satu sama lain’. Memang sedap didengar, dan sebab itulah setiap tahun mesti agih apatah lagi bila berdepan dalam tahun yang sukar.

 

Apabila menjadi perkara rutin, setiap kali pilihan raya agih duit mesti dilakukan. Biar menang dulu, jika kalah lebih baik kerana kerajaan baharu yang akan menanggung hutang-hutang ini.

 

Penamaan calon telah pun dijalankan dan pertarungan bermula secara rasmi. Kerajaan Perpaduan berdepan pertarungan sengit menentang Perikatan Nasional (PN). Langkah mengagihkan bantuan pada ketika ini hanya akan membuatkan orang berasa kecewa dan pastinya menjadi peluru kepada PN untuk menyerang.


 

adani

 


Pun begitu, Anwar sebagai ahli politik berpengalaman penuh dengan cita-cita reformasi, yang juga menjawat jawatan PM dan menteri kewangan, mesti mempunyai bakat luar biasa dan kemahiran kepimpinan.

 

Lagipun, beliau pernah menjadi menteri kewangan terbaik di Asia, jadi masih banyak konsep pengurusan kewangan makmur berpandangan ke hadapan yang masih belum dilaksanakan. Janji kita harus beri peluang kepadanya. - DagangNews.com

 

 
Artikel ini disiarkan di dalam akhbar Sin Chew Jit Poh dan Nanyang Siang Pao 25-27 Julai, dan telah diterjemah oleh Ninie atau nama sebenarnya, Rosni Mahadi yang merupakan penterjemah profesional termasuk di pelbagai jabatan kerajaan sebelum ini.

KLIK DI SINI UNTUK KOLEKSI APA KATA MEDIA CINA

dagangnews
Portfolio Tags