Pentingkah 6 Pilihan Raya Negeri? - Analisis media Cina
Sin Chew Jit Poh & Nanyang Siang Pao, 15 – 19 Mei 2023
ADAKAH 6 Pilihan Raya Negeri (PRN) penting? Ya, sangat penting untuk Kerajaan Perpaduan.
Kestabilan Kerajaan Perpaduan terus menjadi tumpuan dalam dan luar negara. Ini kerana ramai pelabur dan ahli perniagaan memerlukan sebuah kerajaan yang stabil, sebelum mereka yakin dan berani untuk melabur di Malaysia.\
Enam PRN yang semakin hampir merupakan satu daripada faktor utama untuk menentukan kelangsungan Kerajaan Perpaduan. Selagi Kerajaan Perpaduan terutamanya UMNO dapat melakukan prestasi ‘cukup baik’ dalam PRN, maka pada dasarnya Kerajaan Perpaduan boleh menarik nafas lega.
Sekiranya UMNO kalah teruk dan undi Melayu runtuh, suara-suara parti yang tidak berpuas hati dengan kerjasama UMNO-Pakatan Harapan (PH) terutamanya DAP akan tampil ke depan dan mungkin akan berjuang ke arah Perikatan Nasional (PN).
Penganjuran konvensyen untuk tonjol perpaduan
Konvensyen Nasional Kerajaan Perpaduan yang baru tamat, berjaya menunjukkan kepada dunia luar perpaduan dan kesediaan dalam kalangan anggota parti untuk bekerjasama. Selain berjaya menangkis khabar angin ‘guling kerajaan’ dan kerajaan kekal stabil.
Bagaimanapun, tempoh jaminan ‘kestabilan’ seperti ini membuka ruang untuk dipersoalkan. Kita tahu bahawa parti-parti politik boleh mencari alasan yang hebat untuk membentuk pakatan dan bekerjasama, dan boleh juga memberi alasan untuk berpisah.
Jika melihat dari segi bilangan, Kerajaan Perpaduan mendapat sokongan 148 ahli Parlimen. Meskipun hilang 30 sokongan daripada Barisan Nasional (BN), masih berbaki 118 kerusi dan masih boleh memerintah dengan baik.
Tetapi politik bukan matematik. Sebaik sahaja UMNO/BN goyah dan memilih untuk keluar, ia berkemungkinan besar akan memberi impak kepada sekutu lain.
UMNO sebagai veteran politik, tidak akan terburu-buru keluar daripada kerajaan menjadi menjadi parti pembangkang. Apa yang biasanya akan dilakukan adalah mereka akan meniup semboyan gesa ‘ubah kerajaan’!
Tidak bermakna jika UMNO/BN mahu menumbangkan kerajaan pasti akan berjaya. Ini kerana ia masih bergantung kepada parti politik di Malaysia Timur.
Bagaimanapun tidak dinafikan jika UMNO mengalami kemerosotan dalam 6 PRN, Zahid Hamidi sebagai presiden parti pasti tidak dapat menyekat perbezaan pendapat. Jadi, kestabilan Kerajaan Perpaduan berisiko tinggi akan terjejas.
Keberkesanan konvensyen menjelang PRN
Jika dulu DAP menjadi topik serangan utama UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO, tetapi kini mereka duduk bersama di ibu pejabat UMNO menyebabkan ramai netizen Melayu mempersendakan ke mana perginya prinsip UMNO.
Begitu juga DAP dahulunya sentiasa membedil UMNO, tetapi kini berhimpun sama dalam satu dewan. Keadaan ini akan memberi ebih banyak peluru kepada kem lawan untuk menyerang Kerajaan Perpaduan.
Selain itu, konvensyen juga menekankan tadbir urus yang bersih dan menolak semua rasuah. Tetapi dalam rakan sekutu, masih ada yang terlibat dalam tindakan undang-undang dan ini menjadi cemuhan kepada Kerajaan Perpaduan.
Memandangkan majoriti bukan Melayu adalah menyokong PH, maka undi Melayu kini menjadi rebutan yang harus dimenangi. Bagaimanapun masyarakat Melayu lebih banyak mengkritik daripada memuji konvensyen ini.
Masyarakat Melayu telah tawar hati dengan UMNO yang meninggalkan prinsipnya dan tidak berdaya usaha. Begitu mereka juga tidak senang dengan kewujudan DAP.
Bagi pengundi Melayu konservatif, pilihan raya bukan untuk membangunkan negara dan menggalakkan pembangunan ekonomi. Mereka lebih mementingkan status agama Islam dan keistimewaan serta kedudukan orang Melayu di negara ini.
Walaupun konvensyen menyatukan kerajaan dan ia juga mungkin secara tidak sengaja mewujudkan ‘musuh bersama’ yang menyatukan kuasa pembangkang.
Masih berdepan cabaran mentadbir negara
Selain ancaman politik yang ditimbulkan oleh Perikatan Nasional (PN) menjelang 6 PRN, Kerajaan Perpaduan masih berdepan dengan cabaran dalam mentadbir negara. Sejak berkuasa, kerajaan perdpaduan tidak melakukan reformasi drastik dan pelbagai isu masih wujud.
Kenaikan harga barang, inflasi yang tinggi dan beban ekonomi yang semakin berat kepada rakyat adalah perkara yang perlu ditangani segera oleh Kerajaan Perpaduan.
Walaupun ekonomi negara mencapai kadar pertumbuhan 5.6% pada suku pertama tahun ini, mengatasi Indonesia (5%) dan China (4.5%), namun rakyat masih diselubungi dengan ‘wang tidak mencukupi’.
Jadi rakyat tidak dapat merasai kesan positif pertumbuhan ekonomi. Sebaliknya pengumuman kenaikan kadar faedah oleh Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini, orang ramai serta-merta merasai beban pinjaman semakin berat.
PRN uji perpaduan parti dan rakyat
6 PRN dijangka diadakan dua bulan lagi. Selagi Kerajaan Perpaduan dapat mengatasi halangan ini, dipercayai akan dapat bertahan untuk beberapa tahun lagi malah sehingga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
Dapat dilihat bahawa 6 PRN mempunyai kaitan dengan masa depan Kerajaan Perpaduan, dan kepentingannya sangat jelas. Bagi rakyat pula, pentingnya pilihan raya ini kerana ia akan menentukan hala tuju politik negara pada masa hadapan.
Dalam sistem demokrasi, pertukaran kerajaan adalah perkara biasa selagi pentadbiran di landasan yang betul. Namun apabila negara tersalah arah, mentadbir dengan ideologi satu kaum sedangkan realitinya negara adalah berbilang kaum, maka ia adalah permulaan dengan tragedi.
Enam PRN bukan sahaja menguji Kerajaan perpaduan tetapi juga cabaran berat bagi masyarakat majmuk. Jika halangan ini tidak dapat diatasi, bukan sahaja Kerajaan Perpaduan dan UMNO yang kalah tetapi juga kita sebagai rakyat. – DagangNews.com