Apa mekanisme kenal pasti syarikat catat untung luar biasa, soal penganalisis | DagangNews Skip to main content

Apa mekanisme kenal pasti syarikat catat untung luar biasa, soal penganalisis

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Sept. - Cadangan kerajaan untuk mengenakan cukai ke atas syarikat yang mencatat keuntungan luar biasa dilihat menimbulkan banyak tanda tanya, terutama dari segi kaedah pelaksanaannya. 

 

Ini berikutan kenyataan Timbalan Menteri Kewangan II, Yamani Hafez Musa semalam yang menyatakan kerajaan sedang mengkaji beberapa langkah lagi bagi meningkatkan hasil termasuk mengenakan cukai ke atas keuntungan hasil pelaburan saham. 

 

Selain itu, ia juga termasuk mengenakan kadar cukai lebih tinggi secara one-off kepada syarikat-syarikat yang menjana keuntungan luar biasa dalam tempoh pandemik COVID-19.

 

Hasil daripada kutipan cukai tambahan itu akan digunakan untuk membantu golongan yang memerlukan bantuan ketika ini.

 

Menurut CGS-CIMB, mekanisme yang akan digunakan kerajaan untuk mengenal pasti syarikat atau sektor yang mencatat 'durian runtuh' ini secara dasarnya masih belum jelas. 

 

"Ini kerana terdapat sesetengah syarikat mencatat prestasi tinggi bagi tahun kewangan 2021 disebabkan asas pendapatan yang rendah. 

 

"Bagaimanapun, jika cukai one-off ini dilaksanakan, pelabur dijangka mengenalpasti sektor sarung tangan getah, petrokimia dan komoditi yang mungkin terjejas," jelasnya dalam nota kajian hari ini. 

 

Secara keseluruhan, firma penyelidikan itu berpendapat, cadangan berkenaan adalah negatif kepada pasaran ekuiti tempatan jika ia dilaksanakan kerajaan. 

 

Sebelum itu, cadangan serupa pernah disuarakan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Datuk Seri Sabin Samitah pada November lalu.

 

Beliau mencadangkan supaya kerajaan melihat keperluan untuk melaksanakan cukai keuntungan yang boleh memperluaskan asas perolehan cukai dan kutipan hasil. 
 

"Bagi kami ini bukan perkara baharu. Tetapi dengan mengenakan cukai keuntungan terhadap dagangan saham pelabur runcit dan institusi dalam pasaran tempatan, ini adalah sesuatu yang negatif kepada ekuiti Malaysia. 

 

"Tambahan cukai ini akan menyebabkan Malaysia kurang kompetitif, dan menyaksikan lebih banyak aliran keluar asing pada masa akan datang," katanya. 

 

CGS-CIMB mendapati Indonesia, Singapura dan Thailand buat masa ini tidak melaksanakan sebarang cukai keuntungan luar biasa ini ke atas dagangan dalam pasaran saham. 

 

"Pada masa sama, terdapat juga kemungkinan cukai keuntungan diperkenalkan di Malaysia tetapi pengecualian diberikan kepada keuntungan daripada jualan saham yang disenaraikan di bursa tempatan seperti diamalkan di negara-negara lain untuk kekal kompetitif," tambahnya. 

 

Firma itu menganggarkan peningkatan setiap 1% dalam kadar cukai bagi syarikat-syarikat dalam KLCI akan mengikis 1% daripada anggaran pendapatan KLCI bagi tahun kewangan 2022 dan 15 mata daripada unjuran akhir tahun 2021 pada 1,629 mata. 

 

Malah, katanya, ia juga dibimbangi akan mempengaruhi sentimen pasaran dalam tempoh terdekat sehingga Belanjawan 2022 dibentangkan pada 29 Oktober ini. 

 

KLCI juga telah merosot sehingga 72 mata atau 4.4% daripada paras tertingginya 1,601 mata pada 30 Ogos lalu kepada 1,529 mata setakat semalam.

 

"Bagi kami, pasaran global yang lemah dan kebimbangan pelaksanaan cukai tambahan ini, menyumbang kepada kelemahan pasaran tempatan," jelas firma itu. - DagangNews.com