Apakah 400,000 pekerja Ekonomi Gig dilindungi undang-undang buruh Malaysia? | DagangNews Skip to main content

Apakah 400,000 pekerja Ekonomi Gig dilindungi undang-undang buruh Malaysia?

Para pekerja gig sebenarnya masih berdepan masalah gaji dan faedah keselamatan serta kesihatan yang masih ketara.
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

EKONOMI gig dalam era pendigitalan telah menjadi sumber pertumbuhan utama yang banyak mempengaruhi penyusunan semula kegiatan ekonomi.  

 

Untuk pekerjaan baharu ke arah mencapai ekonomi yang lebih mampan dan kerajaan melaporkan dalam Rancangan Malaysia Kedua Belas (RMK-12) 2021-2025  sektor ekonomi gig akan diberikan tumpuan utama bagi membantu pertumbuhan ekonomi baharu.

 

Kerajaan juga membentangkan pelan pemulihan jangka pendek (PENJANA) dan memperuntukkan RM75 juta untuk menyokong pertumbuhan ekonomi gig dan juga menjaga kebajikan pekerja ekonomi gig.

 

Peruntukan sebanyak RM50 juta telah disalurkan di bawah dua program iaitu Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SEEIS) di bawah PERKESO dan Skim i-Saraan di bawah KWSP.

 

Sewaktu rakyat bergelut, bergelintang untuk mencari sesuap rezeki dalam ramai yang kehilangan pekerjaan, apalagi gagal mencari peluang kerja akibat pandemik COVID-19 tiba-tiba ada segmen ekonomi gig muncul yang menjadi penyelamat keadaan dan perasaan.

 

Walau pun begitu satu perkara yang perlu diberi perhatian tentang pekerja dalam segmen ekonomi gig tidak dianggap sebagai pekerja, dengan hanya berstatus kontraktor untuk membekalkan perkhidmatan kepada orang ramai.

 

Perlindungan Undang-Undang

Pekerja ekonomi gig tidak termasuk di bawah definisi pekerja seperti yang dinyatakan di bawah Akta 265, Ordinan Buruh (Sabah Bab 67) dan Ordinan Buruh (Sarawak Bab 76).

 

Tiada rekod atau pemfailan kes buruh berkaitan pekerja gig yang boleh digunakan sebagai penanda aras yang membolehkan pekerja ekonomi gig menikmati manfaat seperti pekerja di bawah definisi undang-undang buruh di Malaysia.

 

Sistem pekerjaan gig dan kontrak perkhidmatan yang dipersetujui menjadikan pekerja ekonomi gig tidak tertakluk di bawah Akta Majlis Perundingan Gaji Negara 2011 (Akta 732) dan Perintah Gaji Minimum (PGM) 2020.

 

Kerajaan melalui Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) menyediakan perlindungan keselamatan sosial kepada orang bekerja sendiri seperti penghantar makanan dan perkhidmatan e-hailing sekiranya mencarum di bawah akta itu.

 

Istilah ekonomi gig menjadi buah mulut dan popular sejak dunia dilanda kegawatan ekonomi pada tahun 2008 yang lalu. Kegawatan ekonomi memberi kesan buruk terutama Amerika Syarikat sehingga mencetuskan trend pendigitalan kerja menerusi kegiatan ekonomi perkongsian.

 

Bermulalah platform perantara penyedia perkhidmatan digital seperti Uber dan AirBnB yang menjadi asas kepada perkembangan ekonomi gig termasuk Malaysia dan ekonomi gig mula kelihatan kesannya.

 

 

gig

 

 

Pekerja ekonomi gig hanya dilihat sebagai pihak yang menggunakan platform tertentu yang menjadi perantara di antara penjual dan pembeli.

 

Segala kekurangan yang dinyatakan dalam situasi ini sebagai satu bentuk eksploitasi terhadap individu yang mencari rezeki dalam sektor ekonomi gig.

 

Pekerja gig adalah pekerjaan model baharu yang sebaiknya mempunyai perlindungan seperti pekerja tradisional, walaupun tidak sama, jangan sampai tiada langsung dan dibiarkan.

 

Tidak munasabah apabila pemilik platform membuat keuntungan besar sementara pekerja gig tidak mempunyai sebarang perlindungan kalau berlaku kemalangan atau masalah kesihatan yang menyukarkan.

 

Dalam mendepani situasi yang mendesak dan perlu perhatian, kerajaan selaku pihak bertanggungjawab semestinya menggubal undang-undang baharu untuk desakan kritikal. Undang-undang ekonomi gig harus memperluas takrif pekerja itu sendiri selain perlu ada perlindungan sosial lain yang berperanan menjamin kebajikan pekerja.

 

Malah golongan pekerja ekonomi gig membentuk kesatuan bagi mendapatkan perlindungan yang sewajarnya dan tidak akan menyelesaikan masalah pendapatan rendah dan taburan pendapatan yang sangat tidak sekata.

 

Ekonomi gig bukan satu kerjaya atau sesuatu yang membekalkan perlindungan jika ada kemalangan, sakit dan sebagainya.

 

Bezakan pemilik dengan pekerja

Di California, Amerika Syarikat pada 1 Januari 2020, telah diperkenalkan undang-undang yang memperjelaskan antara pekerja dan pembekal perkhidmatan dengan tujuan membezakan pekerja dan pemilik perniagaan.

 

Jika jadi pekerja mesti ada perlindungan yang sama dengan pekerja tradisional dan jika jadi pembekal perkhidmatan mesti ada perlindungan sebagai perniagaan tunggal.

 

Persoalan sama ada kesan ekonomi gig banyak menjurus kepada landasan positif atau sebaliknya adalah bergantung kepada tindakan yang diambil dimana isu yang timbul adalah perlindungan sosial untuk pekerja.

 

 

parlimen

 

 

Kalau tiada usaha penggubalan polisi baharu untuk menambah baik keadaan maka ekonomi gig lebih membawa keburukan dan kekurangan. Tetapi dengan andaian ada reaksi proaktif daripada semua pihak berkaitan bagi setiap isu, ekonomi gig akan membawa lebih banyak kebaikan terutamanya segi kelangsungan hidup isi rumah untuk jangka masa pendek yang diisi.

 

Dalam jangka masa panjang dapat meningkatkan bilangan pencipta platform digital dalam kalangan anak muda sekali gus membudayakan masyarakat yang lebih berinovasi dan kreatif.

 

Walaupun ekonomi gig mampu meningkatkan pendapatan individu, para pekerja gig sebenarnya masih berdepan masalah gaji dan faedah keselamatan serta kesihatan yang masih ketara.

 

Yang berdaftar di Malaysia

Untuk rekod dianggarkan pada tahun 2022 terdapat sejumlah 400,000 pekerja dalam sektor ekonomi gig dan hanya 7% yang berdaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

 

Semua isu ini amat dipengaruhi oleh permintaan para pembeli dan faedah pula bergantung kepada entiti yang menguruskan kebajikan dengan sebahagian tidak menerima sumbangan untuk tabung persaraan daripada penyedia platform, tiada cuti tahunan dan tiada cuti sakit bergaji.

 

Penyedia platform memberikan takrifan yang pelbagai tentang pekerja gig, skop pekerjaan dan perlindungannya tentu sekali berbeza dan berlainan.

 

Dari data daripada Tenaga Buruh Malaysia, trend pekerjaan sekarang semakin ke arah pekerjaan gig. Peratusan pekerjaan tidak rasmi, formal atau pekerja akaun sendiri mula meningkat daripada 17.4 peratus pada tahun 2008 kepada 19.4 peratus pada tahun 2018 yang lalu.

 

 

yas

 

 

Dengan proliferasi internet  membuka ruang dan peluang untuk syarikat – syarikat start up seperti Grab, Foodpanda, Mycar dan banyak lagi untuk tumbuh dengan cepat dan terus melebarkan jaringan ke seluruh pelusuk negara.

 

Antara cukup popular adalah perkhidmatan penghantaran makanan seperti FoodPanda, GrabFood, Bungkusit dimana pekerjaan sebagai rider cukup popular dalam kalangan rakyat.

 

Seiring dengan letusan media sosial

Kemunculan dan perkembangan  ekonomi gig didapati seiring dengan perkembangan media sosial bermula tahun 1990-an.  Media sosial  terus berkembang sehingga era mutakhir dengan revolusi industri 4.0 telah memberi anjakan paradigma yang secara radikal mengubah cara komunikasi dan perhubungan tradisional.

 

Cukup memudahkan untuk berhubung antara satu sama lain dan berkongsi maklumat serta informasi dengan pantas dan cepat. Antara laman media sosial yang popular ialah Facebook, YouTube, Twitter, Instagram dan banyak lagi pada hari ini.

 

Jumlah pengguna media sosial aktif di seluruh dunia pada 2021 ialah 4.20 bilion bersamaan 53.6 peratus daripada penduduk global. Boleh dikatakan platform sosial yang paling banyak digunakan di peringkat global ialah Facebook dengan 2,740 juta pengguna aktif. Ini  diikuti oleh YouTube dengan 2,291 juta dan dan WhatsApp 2,000 juta pengguna aktif.

 

Untuk itu Malaysia dalam kedudukan ke-16 untuk carta dunia dengan jumlah gabungan reaksi, spekulasi, komen dan perkongsian kepada jumlah peminat halaman dalam aplikasi Facebook.

 

Era digitalisasi dikejutan ekonomi gig sangat mempengaruhi pertumbuhan ekonomi negara dimana  penerimaan rakyat menjadi penyumbang utama syarikat-syarikat ini untuk terus bertahan dan berdiri kukuh dalam jangka masa yang panjang dengan stabil.

 

Model perniagaan lebih bertumpu dalam ekonomi gig kepada pengguna dan perubahan perniagaan didorong oleh permintaan pengguna. Komposisi pengguna merangkumi pelanggan yang menggunakan perkhidmatan gig. Begitu juga pekerja atau peniaga dan vendor yang berkhidmat dalam perkhidmatan gig secara terbuka.

 

 

Wasiyyah

 

 

Dalam waktu terkini pengguna lebih kerap menggunakan laman sosial seperti Twitter, Facebook dan lain-lain untuk bersuara, memberi pendapat, berkongsi pandangan dan mendapatkan maklumat tentang sesuatu produk dan perkhidmatan yang ditawarkan.

 

Tiada kos bersembunyi dan mempunyai respon yang pantas untuk membalas. Contohnya pelanggan menggunakan platform Instagram untuk mengeksperesi ketidakpuasan hati dengan kelewatan penghantaran makanan.

 

Pekerja gig pula mengeluh di platform Twitter mengenai kebajikan mereka sebagai pekerja yang tidak dijaga dan dibantu.

 

Viral dan tular apabila komen-komen diletakkan di laman sosial sehingga boleh menentukan jatuh bangun sesebuah syarikat. Untuk itu kepuasan pengguna sangatlah penting untuk memastikan sesebuah syarikat dalam ekonomi gig mampu untuk bertahan dan terus berkembang dengan jayanya.

 

Sentimen netizen memperlihatkan kepentingan terhadap pertumbuhan ekonomi gig dengan pemerkasaan dan pembangunan ekonomi  memberi memanfaat saluran digital secara menyeluruh. Apalagi untuk golongan yang telah kehilangan hak sebagai pengguna yang betul.

 

Keperluan untuk pembinaan kekuatan dan keteguhan syarikat-syarikat untuk pengawalseliaan hak dan kepentingan pekerja dan pengguna perlu diselia. Apalagi pengoptimuman penggunaan teknologi digital perlu dilihat dan dititikberatkan oleh penggubal polisi negara yang peka dengan tindakan rakyat.

 

Ekonomi gig akan terus berkembang dengan teknologi digital dan kita tidak tahu apa perkhidmatan yang bakal ditawarkan pada masa depan, hanya lebih mudah untuk kita mengadaptasi dan menggunakannya.

 

Untuk itu, orang muda dengan ekonomi gig bersama netizen sedang mencakna!   - DagangNews.com

 

 

Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi kolum WAINUIOMATA setiap Khamis.