Skip to main content
Kolum Idea Digital - 21 September 2021

Apakah Off-Page SEO?

 

SELAIN media sosial, kedudukan ranking di internet juga penting dalam membentuk strategi pemasaran digital yang berimpak tinggi.

 

Mempunyai kedudukan ranking yang baik, bermakna kredibiliti jenama kita juga baik.

 

Syarat terbesar untuk mempunyai ranking yang baik di internet ialah dengan mempunyai strategi pengoptimuman enjin pencarian atau dalam bahasa Inggerisnya search engine optimisation yang berkesan untuk laman web kita.

 

Jenis-jenis pengoptimuman enjin pencarian

Untuk pengetahuan anda, strategi pengoptimuman enjin pencarian mempunyai dua kaedah. Pertama, ia dikenali sebagai on-page SEO iaitu pengoptimuman enjin pencarian yang dilakukan pada laman web kita sendiri.

 

Melalui on-page SEO, kita perlu memastikan kualiti kandungan yang dilakukan sentiasa tinggi, yang perlu disediakan dengan mendalam dan rapi. Di samping itu, kualiti laman web juga perlu baik yang laju dan responsif.

 

Kedua, off-page SEO iaitu pengoptimuman enjin pencarian yang dilakukan pada laman web luar yang bukan milik kita.

 

Sama seperti on-page SEO, tujuan off-page SEO juga sama iaitu bertujuan memberikan impak yang maksimum terhadap kedudukan ranking di internet.

 

Mengopimumkan strategi enjin pencarian secara off-page akan membantu kita meningkatkan persepsi orang ramai terhadap populariti, kadar relevan, kebolehpercayaan dan autoriti laman web kita.

 

seo

 

Mengapa pengoptimuman enjin pencarian secara off-page ini penting?

Walaupun kita tidak mengetahui dengan lebih mendalam tentang algoritma yang diguna pakai oleh enjin-enjin pencarian namun saya menganggarkan sebanyak 50% daripada elemen-elemen yang mereka ambil kira untuk proses ranking akan merangkumi strategi pengoptimuman enjin pencarian secara off-page ini.

 

Membina pautan atau backlinks merupakan perkara yang paling asas dan yang terpenting dalam strategi ini.

 

Enjin pencarian akan menggunakan pautan sebagai indikator penting kualiti sesuatu kandungan yang dibuat dengan melihat pautan-pautan yang membawa trafik internet ke kandungan tersebut.

 

Biasanya kualiti sesebuah kandungan seperti artikel, infografik dan video akan mampu menarik trafik internet melalui pautan-pautan yang dibina oleh laman-laman web luar.

 

Lebih banyak pautan yang mampu ditarik masuk oleh sesebuah kandungan yang dibuat, maka lebih baik ranking yang akan dimiliki oleh laman web itu.

 

 

Terdapat tiga jenis pautan yang dilihat oleh enjin pencarian.

  1. Pautan yang dibina secara semulajadi. Dengan kata lain, pautan ini dibuat oleh laman-laman web luar tanpa melibatkan pemilik kandungan ataupun laman web yang mempunyai kandungan berkualiti tadi. Contohnya, anda mempunyai satu artikel yang sangat menarik. Terdapat beberapa laman web luar yang menulis artikel mereka yang mempunyai konteks yang hampir sama dan mereka menjadikan artikel anda sebagai rujukan. Cara mereka membuat rujukan ialah dengan membina pautan ke dalam ayat-ayat yang boleh diklik yang akan membawa pembaca mereka ke artikel anda.
     
  2. Pautan yang dibina secara manual. Contoh pautan begini adalah seperti membayar influencer atau penulis-penulis blog untuk meletakkan pautan-pautan yang anda minta ke dalam kandungan-kandungan mereka. Dengan erti kata lain, pemilik laman web luar yang membina pautan-pautan tersebut ada kena-mengena dengan anda.
     
  3. Pautan yang dibina sendiri. Ini pula merujuk kepada pautan-pautan yang anda bina sendiri melalui penulisan artikel, menyediakan video ataupun merekabentuk infografik yang dimasukkan ke dalam laman-laman web lain milik sendiri. Biasanya taktik ini diguna pakai melalui aktiviti penulisan blog secara jemputan atau guest blogging.

 

 

Walau apa cara sekalipun pautan-pautan ini diperolehi, enjin pencarian akan menilai setiap satu melalui elemen-elemen berikut,

  • Populariti laman web yang meletakkan pautan itu.
     
  • Bagaimana kaitannya pautan yang dibina itu dengan konteks kandungan yang ditulis
     
  • Kadar kepercayaan laman web yang mempunyai pautan itu
     
  • Kuantiti laman-laman web lain yang mempunyai pautan yang sama
     
  • Autoriti domain yang mempunyai pautan itu.
     
  • Cara penggunaan teks utama yang mempunyai pautan itu.

 

 

idea

 

 

Pengoptimuman enjin pencarian off-page yang tidak ada kena-mengena dengan pautan

Media sosial juga sedikit sebanyak memainkan sedikit peranan dalam strategi pengoptimuman enjin pencarian secara off-page ini.

 

Selain daripada media sosial, ‘penyebutan’ nama jenama secara bertulis yang tidak menganduingi pautan juga diambil kira dalam menentukan kedudukan ranking.

 

Jadi, kita tidak perlu risau sekiranya mana-mana kandungan luar yang tidak meletakkan pautan untuk merujuk kepada laman web atau kandungan kita. Ia akan tetap dikira.

 

Kesemua senario ini dikenali sebagai non-link-related off-page SEO atau pengoptimuman enjin pencarian off-page yang tidak ada kena-mengena dengan pautan.

 

Berdasarkan apa yang telah saya kongsikan sebentar tadi, jelas ia menunjukkan strategi ini sangat berkait-rapat dengan tingkah laku para pengguna internet itu sendiri.

 

Kita akan melihat satu kumpulan yang tidak akan menunjukkan reaksi mereka langsung sebaik sahaja mereka membaca atau melihat kandungan kita.

 

Tetapi akan ada satu lagi kumpulan yang mereka akan menunjukkan reaksi mereka. Dan biasanya reaksi mereka itu akan dapat dilihat sama ada di media sosial atau melalui laman-laman web mereka.

 

 

idea

 

 

Kesimpulannya

Jadi, apakah cara terbaik untuk mewujudkan strategi off-page SEO yang baik? Bagi saya, apa yang perlu kita lakukan adalah tiga aktiviti ini:

 

  1. Menulis artikel atau menyediakan kandungan visual seperti video dan infografik yang mempunyai konteks yang mendalam dan penerangan yang jelas. Dengan kata lain, kandungan yang dibina itu haruslah berkualiti tinggi agar sesiapa yang membaca dan melihatnya akan merasa rugi sekiranya ia tidak dikongsi dengan orang lain.
     

  2. Mempunyai akaun-akaun di dalam platform kandungan seperti Medium, Marketing In Asia dan Tumblr. Dengan memasukkan artikel, video ataupun infografik ke dalam platform-platform ini, ia akan turut membantu kita membina pautan-pautan dengan lebih banyak lagi. Syaratnya, kita tidak boleh meletakkan kandungan yang sama yang terdapat pada laman web sendiri. Kandungan yang hendak dimasukkan di sini perlu yang baharu dan tidak sama.
     

  3. Mengadakan kerjasama dengan pembuat kandungan lain agar sama-sama menikmati pautan untuk menarik trafik kembali ke laman web masing-masing.
     

  4. Menyediakan produk dan perkhidmatan yang berkualiti tinggi. Mengapa? Kerana kita akan diberikan review yang baik tidak kira di media sosial mahupun di laman-laman web luar. Ini juga penting. – DagangNews.com

 

Azleen Abdul Rahim adalah seorang pakar strategi pemasaran, juga penulis di blog Tanarata dan kini kolumnis DagangNews.com menerusi kolum IDEA DIGITAL setiap Selasa.

 

KLIK DI SINI UNTUK MEMBACA KOLEKSI IDEA DIGITAL

 

 

 

 

 

Portfolio Tags