Apakah kesan ke atas Bursa Malaysia bila tercetus kerajaan mahu perketat semula PKP? | DagangNews Skip to main content
DagangNews.com
CIKGU SAHAM - 26 January 2021

Apakah kesan ke atas Bursa Malaysia bila tercetus kerajaan mahu perketat semula PKP?

 

 


Hi, Asalamualaikum para pembaca yang budiman. Bertemu kembali Cikgu Saham bersama anda setelah sekian lama tidak menulis rencana saham semasa Cikgu Saham bersama Utusan Malaysia dahulu. Sekali lagi Cikgu Saham diberi penghormatan untuk berkongsi ilmu, pandangan dan pengalaman, kali ini di DagangNews.com.

 



Banyak peristiwa yang berlaku di dalam pasaran saham Bursa Malaysia sepanjang tercetusnya wabak COVID-19 yang melanda serata dunia tidak terkecuali negara kita Malaysia.

 



Sebelum tercetusnya virus pembunuh ini, keadaan pasaran saham agak suram dalam tempoh beberapa tahun sehingga permulaan tahun 2020. Boleh dilihat setiap jumlah dagangan keseluruhan Bursa Malaysia susah untuk mencapai 2 bilion sehari.

 

 

bursa


 

 

Dan apabila negara kita mengeluarkan arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) buat pertama kalinya pada bulan Mac 2020, pasaran saham tiba-tiba mengalami ledakan ibarat ledakan bom atom ke atas Hiroshima. Tetapi ledakan ini bukanlah ledakan kemusnahan tetapi merupakan satu ledakan kebangkitan kesedaran masyarakat tentang pelaburan saham yang sangat-sangat memberikan hasil yang lumayan sehinggakan menjadikan ramai pelabur dan pedagang saham jutawan saham segera zaman PKP.

 

 

Apakah yang menyebabkan kebangkitan kesedaran dan penglibatan masyarakat untuk aktif keluar masuk pasaran ketika waktu itu? Kita baca kisah seterusnya di ruangan ini :

 

 

Apa yang berlaku semasa itu tidak dapat diterangkan secara jelas bagaimana seacara tiba-tiba masyarakat mula minat memasuki pasaran saham. Kemungkinan ia juga merupakan inisiatif dari sifu-sifu atau tenaga pengajar saham yang mengadakan kelas dan seminar saham secara meluas menggunakan semua medium pemasaran digital dan elektronik. Ini termasuk juga hebahan dari mulut ke mulut pelabur dan pedagang saham baharu dan lama yang berjaya meraih keuntungan dengan mudah dan cepat. 

 



Banyak saham yang membuat lonjakan harga yang tinggi. Ini bukan sahaja terjadi pada saham-saham berkaitan sarung tangan getah dan kesihatan tetapi juga dari lain-lain sektor.

 



Pelabur yang memasuki pasaran saham pada awal bulan Mac 2020 merupakan pelabur saham yang bernasib baik kerana membeli saham pada harga yang tersangat murah. Sebagai contoh terdapat harga saham dari sektor sarung tangan getah dan kesihatan yang harganya kurang dari RM0.50 sesaham dan apabila pasaran naik semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) telah terlaksana, saham tersebut naik ke paras melebihi RM1.

 



Pelabur membuat andaian bahawa sektor-sektor ini merupakan 'market leader' yang mendominasikan gelanggang saham-saham untung dan cergas. Ini ialah kerana terdapat permintaan yang tinggi ke atas sarung tangan getah, peralatan hospital atau apa-apa yang berkaitan dengan rawatan dan pencegahan virus COVID-19 ini.

 

 

bursa


 

 

Bursa Malaysia telah melakar sejarah dengan jumlah dagangan mencecah hampir 30 bilion dan saham bertukar tangan setiap hari dengan jumlah melebihi 5 bilion. Walhal sebelum negara kita memasuki era normal baru, jumlah dagangan 2 atau 3 bilion sehari agak sukar dicapai.

 



Oleh kerana pelabur dan pedagang saham sedia ada memperoleh keuntungan yang lumayan maka ia menjadi buah mulut masyarakat sekeliling tentang 'senangnya berdagang saham'. Ibarat beli apa sahaja pun untung. Bukan untung kecil tetapi untung lumayan sehinggakan terdapat ramai pelabur yang merasa meraih jutaan ringgit dalam suasana PKP ini.

 



Bercakap tentang pembukaan akaun CDS pula, ia mendapat sambutan di luar dugaan dan merupakan sejarah kegemilangan pasaran saham. Manakan tidak?. Biasanya akaun CDS mengambil masa 1 ke 3 hari untuk siap diproses tetapi semasa PKP dulu, proses pembukaan akaun CDS mengambil masa lebih dari 1 bulan.

 



Wakil-wakil peniaga berlesen atau remisier semasa itu tidak menang tangan melayani pelanggan baru yang ingin membuka akaun CDS. Bayangkan wakil peniaga berlesen menerima purata borang pembukaan akaun CDS sebanyak 100 borang sebulan.

 



Dan apabila ura-ura kemungkinan kerajaan bercadang mengenakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) untuk kali ke-2, adakah fenomena yang sama akan berlaku sekali lagi? Iaitu ledakan kali ke-2 pasaran saham Bursa Malaysia?

 


Agak sukar untuk mengiya atau menidakkan ia akan berulang sekali lagi. Namun begitu dalam pasaran saham tidak dinafikan terdapat satu ungkapan yang mengatakan `sejarah berulang'.

 



Jika dikaitkan dengan sejarah berulang, ada yang mengatakan letusan pasaran saham tahun 2020 mengingatkan kembali zaman kegemilangan pasaran saham tahun 1993 atau disebut sebagai bull run atau larian kerbau.

 

 

bursa

 

 

 

Ada juga yang mentafsirkan bahawa kedua-dua peristiwa tahun 1993 dan 2020 merupakan suatu bull run tetapi corak atau paten yang berbeza bersesuaian dengan keadaan masa itu.

 



Sebagai contoh bull run tahun 1993 merupakan kemasukan dana asing secara besar-besar dan bull run tahun 2020 pula merupakan aktiviti beli jual saham dalam kalangan pelabur dan pedagang runcit yang mendominasikan jumlah dagangan setiap hari.

 



Kita menyaksikan penyertaan pelabur dan pedagang runcit yang agak besar berbanding penyertaan dana tempatan dan pelabur asing. Maka dengan terjadinya bull run tidak mustahil larian kerbau ini akan sedikit demi sedikit menjadi lemah disebabkan kepenatan. Jika dikaitkan dengan pasaran saham pula, aktiviti yang cergas biasanya akan berakhir dengan sentimen lemah disebabkan kegiatan seperti pengambilan untung, pembetulan harga dan sebagainya.

 



Persoalannya, adakah pelabur atau pedagang baharu yang terlepas peluang menjadi jutawan saham pada tahun 2020 mempunyai harapan pada tahun 2021 jika PKP ini dilaksanakan untuk kali ke-2?. Kita sambung topik ini di minggu hadapan. - DagangNews.com

 



Cikgu Saham Zuraida Zakaria juga merupakan penulis buku saham "Dunia Saham Dari Perspektif Cikgu Saham'. Anda yang berminat boleh dapatkan buku ini dengan menghubungi talian 017-3084787.

 

 

 

 

 

Portfolio Tags