APEC 2020: Jepun terajui peraturan dagangan digital antarabangsa | DagangNews Skip to main content

APEC 2020: Jepun terajui peraturan dagangan digital antarabangsa

 

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Dunia berdepan kemelesetan ekonomi dengan pelbagai risiko yang muncul, sekali gus menyaksikan peraturan bagi ekonomi global yang bebas dan adil sebagai perkara mustahak. 

 

Sehubungan itu, Jepun bakal menerajui penetapan peraturan berhubung dagangan digital termasuk rundingan e-perdagangan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) yang dipengerusikan bersama oleh negara terbit matahari berkenaan. 

 

Peraturan itu bakal dilaksanakan di bawah konsep Aliran Data Bebas dengan Kepercayaan (DFFT). 

 

Ketika mempromosikan pembaharuan WTO, Perdana Menteri Jepun, Yoshihide Suga berkata, negaranya mahu sebuah Kawasan Perdagangan Bebas Asia Pasifik (FTAAP) menerusi rumusan awal perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP).

 

Ini termasuk pelaksanaan dan pengembangan stabil Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP) sebagai pengerusi pada tahun hadapan. 

 

“Kami akan menekankan lagi penambahbaikan rantai bekalan untuk kekal bertahan dengan mempromosi kepelbagaian pangkalan pengeluaran antarabangsa syarikat Jepun, menggunakan teknologi digital dan membantu infrastruktur berkualiti untuk berkembang dan stabil. 

 

“Jepun akan menyambung semula aktiviti ekonomi global menerusi langkah-langkah mencegah jangkitan COVID-19. Pada masa sama, kami mengalu-alukan ahli profesional dari sektor kewangan antarabangsa, dengan matlamat menjadi sebuah pusat kewangan untuk Asia, malah di peringkat global,” kata Suga pada APEC CEO Dialogues 2020 hari ini. 

 

Percaya bahawa kekuatan APEC datangnya daripada intipati Majlis Penasihat Perniagaan APEC (ABAC), Suga menegaskan pandangannya bahawa transformasi digital dan inovasi merupakan kunci kepada kesejahteraan ekonomi di rantau itu. 

 

Memandangkan APEC ketika ini sedang berunding mengenai sebuah wawasan yang bakal menggantikan Matlamat Bogor, Suga menzahirkan penghargaan kepada ABAC dan pihak terlibat yang menyumbang kepada perbincangan dokumen berkenaan. 

 

“Jepun, bersama-sama APEC akan merealisasikan ekonomi mampan dan masyarakat yang teguh daripada segala krisis di mana semua pihak berkembang maju dan menyumbang kepada manfaat pertumbuhan ekonomi. 

 

“Sebuah Indo-Pasifik yang bebas dan terbuka akan menjadi tonggak kepada kesejahteraan rantau ini dan Jepun berhasrat untuk menggalas peranan kepimpinan untuk menjadikannya sebuah realiti,” tambah Suga. - DagangNews.com

 

logo apec