Skip to main content

APEC 2020 :  Melangkah ke era pendigitalan

aaa

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
editor@dagangnews.com

 

WESTERN Digital baru-baru ini, meningkatkan pelaburannya sehingga RM2.3 bilion di Malaysia bagi mengembangkan operasi kilang di Pulau Pinang dan Sarawak.

 

Komitmen pelaburan ini secara tidak langsung akan mewujudkan tambahan 2,000 peluang pekerjaan kepada penduduk setempat yang mana nilai eksportnya pada tahun lalu sahaja mencecah RM18 bilion.

 

Apa yang menariknya, syarikat pembuat teknologi maklumat yang berpangkalan di California, Amerika Syarikat (AS) ini sudah bertapak di Malaysia sejak 1973 dan melabur sebanyak RM18 bilion dalam tempoh itu.

 

Sebagai syarikat multinasional yang merekodkan perolehan sebanyak AS$16.57 bilion tahun lalu, peranannya amat besar dalam meningkatkan ekonomi di sesebuah negara.

 

western

 

Impak syarikat global seperti Western Digital sangat penting, bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi tetapi memperkasa agenda digitalisasi yang kini menjadi satu norma baharu.

 

Ini kerana semakin banyak syarikat dan individu bergerak ke arah penggunaan digital, sudah tentu permintaan storan bagi menyimpan data juga meningkat. Tidak kiralah, sama ada storan untuk peranti mudah alih sehingga storan untuk pelayan (server) terutama storan bagi pengkomputeran awan yang menjadi salah satu rangkaian utama dalam perkembangan era ekonomi digital.

 

Sehubungan itu, selaras dengan penganjuran Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2020, pada 20 November ini, secara dasarnya mempunyai kelebihan utama dalam membantu meningkatkan usaha pendigitalan di rantau ini merentasi 21 negara ekonomi.

 

Dua negara ekonomi utama dunia yang berada dalam lingkungan APEC kini berlumba-lumba dalam menerajui agenda teknologi digital.

 

Kekuatan syarikat gergasi teknologi dunia dari rantau APEC

Kejayaan firma teknologi Amerika Syarikat (AS) seperti Amazon, Microsoft, Apple, Facebook dan Alphabet yang menakluk jutaan pengguna di seluruh dunia tidak boleh dipertikaikan lagi.

 

Begitu juga kebangkitan firma dari China terutama Alibaba, yang mendapat perhatian dunia apabila penyenaraian cabang teknologinya, Ant Group yang terbesar di dunia bernilai AS$37 bilion gagal dibawa ke papan utama di Shanghai dan Hong Kong, 5 November lalu.

 

Selain Alibaba, China juga memiliki gergasi teknologi Tencent, yang aplikasi komunikasinya, WeChat menyamai WhatsApp, yang dimiliki multibilionair ketiga dunia, Mark Zuckerberg. Kedua-dua syarikat China ini berada di kedudukan ke-6 dan ke-7 dunia di belakang 5 syarikat teknologi AS itu.

 

alibaba

 

Selain pertembungan syarikat teknologi AS-China ini, negara anggota APEC, Korea Selatan juga memiliki Samsung Electronics yang merupakan syarikat teknologi kedua terbesar dunia dengan nilai syarikat mencecah AS$301.65 bilion pada 2019, menjadikannya ke-18 terbesar di dunia. 

 

Gabungan kepakaran teknologi di rantau APEC ini adalah kelebihan yang harus dimanfaatkan oleh perusahaan kecil, mikro dan sederhana (MSME) untuk berkembang di pentas global.

 

 

Cabaran kepada negara APEC

Cabaran hari ini lebih kritikal. Sama ada kita mahu menerimanya atau tidak, krisis COVID-19 telah mengubah landskap kehidupan sepenuhnya.

 

Dunia kini berada dalam dimensi berbeza. Semuanya bergerak pantas apabila dunia digital menjadi satu keperluan, bukan lagi kehendak.

 

Di peringkat serantau, sekitar 50% tenaga kerja APEC setakat ini terdiri daripada MSME yang menyumbang antara 20 hingga 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam kebanyakan negara ekonomi.

 

Malah, dianggarkan, kira-kira 150 juta perniagaan berada dalam kategori MSME di rantau ini dengan kebanyakan daripada mereka mudah terjejas akibat kejutan terutama krisis kesihatan yang melanda seluruh dunia ketika ini. 

 

Melihat kepada ‘kerapuhan’ mereka berdepan dengan cabaran semasa, ia harus menjadi tumpuan utama APEC untuk membawa ekonomi ke arah pendigitalan sekali gus membolehkan mereka kekal berdaya tahan dalam pasaran yang lebih kompetitif.

 

Ini juga merupakan satu cabaran kepada APEC. Buat Malaysia, dengan pertama kali ia dianjurkan secara maya, pastinya bukan suatu perkara yang mudah.

 

aaa

 

Penganjuran tahun ini akan menjadi satu penanda aras sejauh mana ekonomi dunia suatu hari nanti mampu berkembang didokong aspek pendigitalan.

 

Jadi, apakah yang boleh kita jangkakan daripada penganjuran APEC kali ini? Adakah kita sudah bersedia untuk menerima dunia tanpa sempadan ini?

 

Bagaimana APEC 2020 dapat membantu PKS Malaysia?

Ekonomi-ekonomi digalakkan berkolaborasi dan mengguna pakai penyelesaian digital yang akan meneguhkan ketahanan rantaian bekalan selain membolehkan perniagaan menyeberang sempadan tanpa berklim (seamless), termasuk menerusi e-dagang, kata Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

 

“Di dalam menyediakan peluang-peluang digital ekonomi, kami memperakui kepentingan kerjasama untuk memudah cara aliran data dan mengukuhkan keyakinan pengguna dan perniagaan di dalam transaksi digital," kata beliau.

 

azminali
Mohamed Azmin Ali

 

Pada Mesyuarat Menteri-menteri Perusahaan Kecil dan Sederhana APEC kali ke-26, 24 Oktober lalu, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar yang mempengerusikan mesyuarat tersebut menekankan betapa pentingnya kerjasama APEC dalam menggalakkan MSME bergerak ke arah ekonomi digital.  “Ke arah digital bukan lagi pilihan tetapi keperluan untuk menjalani kehidupan,” tegas beliau.

 

Dalam era kini, perniagaan tidak perlu lagi secara konvensional, tetapi perlu menggunakan platform e-dagang dan teknologi kewangan (fintech) supaya dapat berkembang di peringkat global.

 

Ini memerlukan MSME melibatkan diri secara aktif dalam pendigitalan, inovasi dan teknologi untuk kekal berdaya tahan.

 

Untuk mencapai matlamat ini, APEC perlu membantu menghapuskan sekatan dalam urus niaga digital dan e-dagang, menyediakan aktiviti pembangunan kemahiran digital dan menambah baik akses kepada maklumat dan teknologi maklumat untuk perniagaan dan perdagangan rentas sempadan.

 

Peranan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar (Matrade) misalnya yang mempunyai 46 pejabat serantau di luar negara sebenarnya amat penting dalam membantu usahawan di negara ini melangkah ke peringkat global di sebalik sekatan sempadan akibat krisis COVID-19.

 

Agensi di bawah Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) ini dilihat sedang memanfaatkan dunia teknologi maklumat supaya perniagaan dapat terus berkembang. 

 

Ketua Pegawai Eksekutif Matrade, Datuk Wan Latiff Wan Musa berkata, usaha Matrade menerusi platform pemadanan perniagaan secara maya, eBizMatch telah menganjurkan lebih 670 mesyuarat perniagaan melibatkan 600 syarikat di negara ini dan 449 syarikat asing setakat September lalu.

 

“Kami perlu meneruskan usaha menghubungkan syarikat Malaysia dan pembeli luar di sebalik dunia berdepan dengan pandemik COVID-19. Jadi, kami memanfaatkan platform digital bagi mencapai objektif ini,” katanya.

 

Selain itu, PKS di negara ini juga harus memanfaatkan perkhidmatan dalam talian sedia ada menerusi MyExport yang menyaksikan lebih 10,000 syarikat sudah berdaftar.

 

Matrade turut mengambil inisiatif melancarkan pameran MyAPEC2020, sejajar dengan penganjuran Malaysia sebagai tuan rumah APEC 2020 yang akan berlangsung sehingga 31 Disember ini.

 

aaa

 

Platform ini yang menyediakan pelbagai komponen pameran, pemadanan perniagaan, pembentangan perniagaan dan webinar setakat ini telah menarik 300 pempamer Malaysia dan lebih 6,000 pengunjung berdaftar.

 

Dalam usaha menggalakkan lebih banyak PKS bergerak di atas platform digital, Geran Pembangunan Pasaran (MDG) turut diperluaskan dan telah memanfaatkan 1,200 syarikat melibatkan pengagihan berjumlah RM20 juta.

 

Komitmen Malaysia menyokong pendigitalan

Di bawah Belanjawan 2021 yang dibentangkan 6 November lalu, kerajaan melalui Bank Pembangunan Malaysia Berhad (BPMB) akan melaksanakan Skim Transformasi Pendigitalan Industri bernilai RM1 bilion.

 

Skim ini bagi membantu merancakkan aktiviti pendigitalan dengan ketersediaan dana sehingga 31 Disember 2023.

 

Kerajaan turut menyediakan dana tambahan berjumlah RM150 juta di bawah Skim Geran Pendigitalan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan Geran Automasi dalam usaha menyokong aktiviti automasi dan modenisasi.

 

Syarat kelayakan geran ini turut dilonggarkan kepada PKS mikro dan syarikat pemula yang telah beroperasi selama enam bulan.

 

Bagi memperkasa usaha pendigitalan, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan mempengerusikan Majlis Digital Negara, yang ditubuhkan untuk mempercepatkan proses digitalisasi oleh PKS pada era pandemik COVID-19.

 

PM
Perdana Menteri menggunakan tablet untuk berhubung ketika era COVID-19 sekarang ini.

 

Majlis itu akan meneliti pelaksanaan proses digitalisasi yang mampu membantu mempercepatkan perkembangan sektor perniagaan memandangkan PKS menyumbang 70% kepada kegiatan ekonomi negara.

 

Selain komitmen yang ditunjukkan kerajaan, dalam masa sama, negara perlu melahirkan lebih ramai pengaturcara, penganalisis dan saintis data kerana data akan menjadi khazanah penting suatu ketika nanti.

 

Menurut laporan Fortune Business Insights, pasaran pengkomputeran awan global dijangka mencecah sehingga  AS$760.98 bilion menjelang 2027. Ini peluang yang mesti direbut oleh semua Ekonomi APEC.     – DagangNews.com

 

APEC