Skip to main content

APEC pacu 91% pelaburan langsung asing Malaysia

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 20 Nov. - Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) menjadi pemacu kepada pertumbuhan pelaburan langsung asing (FDI) Malaysia sebanyak 91% pada 2019.

 

Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, penglibatan Malaysia dalam APEC juga terus mengukuhkan pertumbuhan perniagaan-perniagaan negara melalui pengembangan perdagangan antara wilayah, yang seterusnya membawa kemajuan besar kepada ekonomi serantau.

 

"Melalui pengembangan perdagangan, rakyat Malaysia menerima impak positif dalam bentuk penciptaan pekerjaan, pemindahan pengetahuan dan penempatan strategik bagi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam rantaian nilai global.

 

"Hingga kini, perdagangan Malaysia dengan anggota APEC telah meningkat tujuh kali ganda dalam dekad yang lalu.

 

"Pada tahun 2019, APEC secara kolektif menyumbang 78% daripada jumlah perdagangan Malaysia. APEC sebagai satu kumpulan merupakan sumber pelaburan asing langsung (FDI) terbesar ke Malaysia dan ini mewakili 91% daripada keseluruhan aliran FDI Malaysia tahun lalu," katanya dalam ucapan Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM) hari ini.

 

AELM yang pertama kali dianjurkan secara maya itu dipengerusikan oleh Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Mesyuarat AELM turut disertai oleh 21 pemimpin ekonomi-ekonomi APEC.

 

Selain penyertaan 21 ekonomi anggota itu, mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva.

 

AELM turut menekankan beberapa agenda mesyuarat penting termasuk pandemik COVID-19 dan Wawasan Pasca 2020.

 

Agenda berkaitan COVID-19 menggesa campur tangan pemimpin merangkumi tindak balas ekonomi APEC dalam mengurangkan kesan kesihatan dan ekonomi akibat pandemik COVID-19.

 

Manakala agenda wawasan pasca APEC 2020 pula merangkumi penerimaan Wawasan Pasca 2020 yang pertama kali dilancarkan dengan nama rasmi, menjadi dokumen rujukan utama di rantau berkenaan dalam menentukan hala tuju strategi ekonomi anggota untuk tahun-tahun akan datang.

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin memberitahu, kesemua ekonomi APEC telah mendapat pelbagai manfaat daripada forum serantau berkenaan.

 

"Sebagai Pengerusi APEC 2020, menjadi satu penghormatan untuk saya menjadi tuan rumah meskipun secara maya yang kekal menjadi kemuncak acara tahunan APEC.

 

"Sebagai anggota ekonomi APEC, kita semua telah mendapat pelbagai manfaat daripada forum serantau utama ini. Manfaat merangkumi aspek perdagangan, pelaburan dan fasiliti, selain kerjasama ekonomi dan teknikal," tambah beliau lagi. - DagangNews.com

 

APEC 2020