Skip to main content

APEC tonggak pemulihan ekonomi pasca pendemik COVID-19

 Perdana Menteri Malaysia, Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika menyampaikan ucapan dalam Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC (AELM).

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Persidangan Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) dilihat menjadi peranan utama dalam menerajui langkah pemulihan ekonomi dalam tempoh pasca pandemik COVID-19.

 

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, ekonomi APEC perlu mewujudkan perdagangan dan pelaburan yang baik untuk membantu pemulihan ekonomi serantau.

 

"Sebagai kumpulan negara yang menyumbang 60% kepada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) global, APEC berperanan utama dalam menerajui langkah pemulihan ekonomi pasca pandemik. 

 

"Kita perlu berdagang dan melabur sebagai jalan keluar daripada kemerosotan ekonomi semasa.

 

"Kita perlu bersatu dan berusaha secara konstruktif dalam membawa hala tuju ekonomi serantau yang mantap, menyeluruh dan mampan," katanya dalam ucapan mesyuarat AELM malam tadi.

 

AELM yang pertama kali dianjurkan secara maya itu dipengerusikan oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin.

 

Mesyuarat AELM turut disertai oleh 21 pemimpin ekonomi-ekonomi APEC.

 

AELM turut menekankan beberapa agenda mesyuarat penting termasuk pandemik COVID-19 dan Wawasan Pasca 2020.

 

Mengulas lanjut, Muhyiddin turut menyentuh berkaitan Matlamat Bogor yang berjaya meningkatkan lebih empat kali ganda jumlah perdagangan antara negara anggota APEC dan seluruh dunia.

 

"APEC kini berada pada tahap kritikal. Pada 1994, anggota APEC bersetuju dengan Matlamat Bogor mengenai perdagangan dan pelaburan terbuka di Asia Pasifik menjelang 2020.

 

"Sejak Matlamat Bogor dinyatakan buat kali pertama pada tahun 1994, jumlah perdagangan antara anggota APEC dan seluruh dunia meningkat lebih daripada empat kali ganda. Kita sekarang mewakili hampir 50% daripada jumlah perdagangan dunia.

 

"Melihat kepada keutuhan integrasi ekonomi, lebih dua pertiga aktiviti perdagangan negara APEC adalah dengan anggota APEC yang lain," jelas beliau lagi. - DagangNews.com

 

APEC 2020