Aplikasi StopOver Biz pacu usahawan Perak jana pendapatan digital  | DagangNews Skip to main content

Aplikasi StopOver Biz pacu usahawan Perak jana pendapatan digital 

Pembangunan digital dapat memberi ruang melahirkan lebih ramai anak muda negeri Perak yang berbakat dalam bidang tersebut.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 7 Ogos - Satu lagi inisiatif diperkenalkan bagi memacu bisnes para usahawan negeri ini menerusi pengenalan aplikasi perniagaan digital iaitu StopOver Biz.

 

Aplikasi ini bagi membantu golongan tersebut termasuk perusahaan kecil dan sederhana (IKS) mempromosi dan mengiklankan produk mereka dalam pemasaran digital. 

 

Ia usaha kerajaan negeri Perak melalui Pertubuhan Usahawan Teknologi Inovasi dan Kreativiti Kinta (Putik).

 

Ketua Pegawai Eksekutif Stopover Sdn.  Bhd., Mohd. Zahrul Azmi Mohd. Yusof berkata pihaknya menyasarkan kira-kira 3,000 usahawan IKS untuk mendapat manfaat daripada aplikasi tersebut.

 

Katanya, aplikasi StopOver Biz memberi ganjaran tunai kepada pelanggan lantas memberi tambahan pulangan serta menjana pendapatan kepada para usahawan.

 

“Pelanggan yang menggunakan aplikasi ini hanya perlu mengimbas Kod QR khas bagi untuk menerima pulangan tunai jika membeli di premis perniagaan yang menyertai sistem ini.

 

"Ini juga merupakan satu lagi usaha Putik untuk membangunkan satu platform membantu syarikat permula di Perak," ujarnya.

 

Beliau ditemui pada majlis pelancaran Pertubuhan Usahawan Teknologi, Inovasi dan Kreativiti Kinta Perak (Putik), Program Spark and Idea Lab dan Aplikasi Perniagaan Digital StopOver Biz baru-baru ini.


 

perak
Pengenalan aplikasi StopOver Biz merupakan satu lagi usaha untuk membangunkan platform membantu syarikat permula di Perak.

 


Aplikasi ini dibangunkan sejak Disember lalu dan kini sudah didaftarkan dalam sistem Android dan iOS.

 

Selain itu, ia juga dilihat dapat memberi ruang melahirkan lebih ramai anak muda negeri ini yang berbakat dalam bidang kepakaran digital.

 

Dalam perkembangan lain, sebanyak lima buah lagi Pusat Ekonomi Digital Keluarga Malaysia (PEDi) akan diwujudkan di Perak menjadikan kesemuanya sebanyak 71 buah pusat PEDi.

 

Inisiatif Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (MCMC) itu akan memperkasakan lagi peranan 66 buah PEDi sedia ada bagi meningkatkan kadar penembusan jalur lebar selaras dengan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan.

 

Selain itu, ia bagi merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar selaras dengan matlamat kerajaan. - DagangNews.com