1,246 pelajar tajaan MARA ke luar negara mulai September 2022 | DagangNews Skip to main content

1,246 pelajar tajaan MARA ke luar negara mulai September 2022

Datuk Seri Mahdzir Khalid beramah mesra dengan para pelajar tajaan MARA yang akan melanjutkan pelajaran ke universiti luar negara bermula September 2022.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 4 Ogos - Majlis Amanah Rakyat (MARA) meneruskan tradisinya menaja pelajar ke luar negara dalam pelbagai bidang dan peringkat pengajian.

 

Terbaru, seramai 1,246 pelajar cemerlang dipilih menerima tajaan melanjutkan pengajian ke universiti terbaik dunia.

 

Menurut Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid, daripada jumlah itu, seramai 690 pelajar melanjutkan pengajian ke United Kingdom (UK) dan 217 pelajar ke Amerika Syarikat (AS).

 

“MARA akan terus menyediakan peruntukan bagi menaja pengajian pelajar-pelajar cemerlang yang akan memberi manfaat kepada ribuan pelajar setiap tahun di bawah skim pinjaman boleh ubah bagi pengajian di dalam dan luar negara. 

 

"Antara program penajaan yang ditawarkan adalah Young Talent Development Programme (YTP), Graduate Excellence Programme (GREP), Program Pembangunan Profesional (Pro-P), IPMA Excellent Students Programme (IESP) dan MARA Education Sponsorship Hybrid (MESH)," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pra Pelepasan Pelajar Ke Luar Negara (Know Before You Go) di sini hari ini.

 

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB), Datuk Ramlan Harun; Pengerusi MARA, Datuk Seri Azizah Mohd Dun dan Ketua Pengarah MARA, Datuk Azhar Abdul Manaf.

 

Jelas Mahdzir, selain UK dan AS, MARA turut menghantar seramai 84 pelajarnya ke Rusia, Australia 66 pelajar, India 50 pelajar, Perancis 47 pelajar, Ireland 34 pelajar, Sepanyol 16 pelajar, New Zealand 15 pelajar, Belanda 3 pelajar, Jordan 2 pelajar dan Jerman, Sweden serta Korea Selatan masing-masing seorang pelajar.

 

 

mahdzir

 

 

Beliau berkata, kesemua pelajar terbabit kini sedang menjalani program persiapan diri dan akan berlepas ke negara tersebut secara berperingkat bermula September depan.

 

"Program Pra Pelepasan Pelajar Tajaan MARA ke luar negara (Know Before You Go) antaranya adalah bagi memberi pendedahan dan penerangan berkenaan urusan konsular oleh Bahagian Konsular Wisma Putra.

 

"Selain taklimat ancaman keselamatan dan ekstremis oleh Polis Diraja Malaysia, taklimat urusan di lapangan terbang, urusan kewangan dan prosedur yang perlu dipatuhi semasa menjadi pelajar tajaan MARA di luar negara nanti.

 

"Kesemua pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke luar negara adalah berdasarkan keputusan yang cemerlang semasa mengikuti pengajian persediaan seperti A-Level, International Baccalaureate, American Degree Transfer Program, Diploma, Foundation serta Ijazah Sarjana Muda dan Ijazah Sarjana," jelasnya.

 

 

mahdzir

 

 

Pelajar terbabit tambah Mahdzir, sebelum ini juga telah menghadiri Program Pemantapan Karisma yang diadakan selama 3 hari.

 

"Mereka telah didedahkan berkaitan prinsip utama konsep kenegaraan bagi memahami kepentingan kerajaan dalam pentadbiran Malaysia.

 

“MARA akan terus melahirkan golongan pelajar yang peka tentang konsep berkerajaan serta mengetahui dasar-dasar negara berpandukan perlembagaan persekutuan dan prinsip rukun negara,” katanya.


 
Program tersebut dijalankan dengan kerjasama Institut Pembangunan dan Kecemerlangan Kepimpinan (i-LEAD) di bawah Kementerian Belia dan Sukan.

 

Ia dirangka khusus untuk membina jati diri kebangsaan yang mantap dalam kalangan pelajar sebagai golongan yang beridealisme agar selari dengan matlamat utama MARA. 


 
Selain itu, program tersebut juga bertujuan memupuk aspek kepimpinan dalam diri setiap pelajar bagi menghasilkan generasi yang mempunyai potensi dan berkemahiran tinggi.

 

MARA menyasarkan untuk menghantar pelajar tajaannya ke luar negara seramai 1,500 orang setiap tahun. Untuk rekod, MARA kini mempunyai sejumlah 3,229 orang pelajar tajaannya di 19 buah negara.

 

Kesemua mereka melanjutkan pengajian di 50 universiti terbaik dunia mengikut QS Ranking 2022 dan 20 terbaik mengikut kedudukan kursus yang ditawarkan. - DagangNews.com