2021: Indonesia dijangka terbit lebih banyak bon mencecah Rp35 trilion | DagangNews Skip to main content

2021: Indonesia dijangka terbit lebih banyak bon mencecah Rp35 trilion

Oleh ANIS FARHANAH MALEK
anisfarhanah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 24 Ogos - Indonesia dijangka menerbitkan lebih banyak bon Rupiah pada tahun hadapan dengan purata saiz lelongan Rp30 trilion hingga Rp35 trilion bagi bon konvensional dan sukuk antara Rp10 trilion hingga Rp15 trilion. 

Maybank Investment Bank Research (Maybank IB) berkata, rancangan pembahagian beban negara berkenaan telah menyumbang kepada kekurangan jurang pendanaan Indonesia dan bon Rupiah yang telah diterbitkan dalam pasaran dilihat mengecil dengan ketara. 

“Dalam pada itu, bagi bon mata wang asing, penerbitannya setakat ini berjumlah Rp160 trilion yang telah mencecah target AS10 bilion hingga AS12 bilion bagi tahun 2020.

“Terbitan bon mata wang asing tambahan akan menawarkan peluang sekiranya keadaan pasaran membenarkan. Kami berasa ada kemungkinan pendanaan awal berlaku pada 2021 menerusi bon dolar AS pada suku keempat 2020,” jelas laporan Maybank IB. 

Bagaimanapun, saiz bon berkenaan bergantung kepada keadaan sekiranya tiada lanjutan pelan pembahagian beban dan jumlah sama yang akan dikumpul dari bon mata wang asing.

“Setakat ini, masih belum pasti sama ada akan terdapat pelaksanaan lain untuk menyokong permintaan bon. Sebagai contoh pada April lalu, Bank Indonesia telah memotong keperluan rizab Rupiah sebanyak 200 mata asas (bps) bagi bank konvensional.

“Dalam masa sama, Bank Indonesia menaikkan penimbal kecairan makroprudensial sebanyak 200 bps yang perlu dipenuhi melalui pembelian bon kerajaan di pasaran utama, langkah yang dilihat dapat membantu pembiayaan fiskal," tambah Maybank IB.

Sementara itu, permintaan lelongan bon terus mengukuh dalam kedua-dua bon konvensional dan sukuk yang menerima lebih banyak kemasukan lelong pada Ogos berbanding Julai 2020. 

Bagaimanapun, pemegangaan saham asing Indonesia kekal merosot pada kadar 28.6% pada Jun 2020 berbanding 39% pada Januari. 

“Tetapi, ini tidak akan memberi impak ke atas Indonesia Goverment Bond (IndoGB) melihatkan pada profil terbitan yang positif,” kata Maybank IB. - DagangNews.com