Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 7 April - Prospek sektor hartanah dilihat masih samar-samar di sebalik persekitaran kadar faedah yang rendah ketika ini, menurut Kenanga Research.
Penganalisisnya, Lum Joe Shen berkata, masih terdapat beberapa isu yang membelenggu sektor ini terutamanya berkait dengan dasar, kemampuan pembeli dan unit tidak terjual.
"Pada pendapat kami, permintaan jualan yang belum dipenuhi hanya akan bertahan lama tahun ini sebelum menurun apabila memasuki tahun kewangan 2022," katanya dalam nota kajian.
Sejak suku kedua 2020, indeks harga rumah (HPI) telah memasuki pertumbuhan negatif selepas beberapa suku mencatatkan penurunan, menunjukkan peningkatan harga rumah.
Secara amnya, ini merujuk kepada beberapa perkara terutama, keadaan ini menyukarkan pemaju untuk menaikkan harga bagi fasa baharu dan sektor hartanah tidak lagi menawarkan tarikan keuntungan kepada pelabur.
Malah, menurut Joe Shen, pembeli semakin kurang terdesak untuk membeli rumah kerana harga mungkin lebih murah jika mereka menunggu lebih lama, yang mana akan menyebabkan berlakunya sikap 'tunggu dan lihat'.
"Ini akan menjadikan prospek jualan hartanah semakin mencabar pada masa akan datang," katanya.
Bagi pemaju pula, selain berdepan dengan harga rumah yang tidak berubah, mereka juga menghadapi masalah lambakan produk tidak terjual dalam pasaran.
Setakat suku ketiga 2020, jumlah unit tidak terjual berjumlah 65,500 unit meningkat 17.2% tahun ke tahun bernilai RM50.2 bilion.
"Malah, isu ini semakin memburuk akibat pandemik COVID-19. Kebanyakan unit tidak terjual ini terdiri daripada kediaman bertingkat dan perkhidmatan dengan harga sekitar RM300,000 hingga RM1 juta," katanya.
Laporan Pasaran Hartanah 2020 yang dikeluarkan Isnin menunjukkan terdapat 29,565 unit siap dibina tidak terjual bernilai RM18.92 bilion, berkurangan 3.6 peratus dari segi bilangan berbanding angka pada 2019, tetapi
nilainya meningkat 0.5 peratus.
Pada 2020, sektor hartanah negara merekodkan 295,968 transaksi bernilai RM119.08 bilion, susut 9.9 peratus dari segi bilangan dan 15.8 peratus dari segi nilai daripada angka yang dicatatkan pada 2019.
Joe Shen berkata, walaupun sektor hartanah dilihat kembali pulih tahun ini dari segi jualan dan pendapatan berikutan kesan asas yang rendah tetapi ia masih kekal suram.
"Ini boleh dilihat apabila pemaju berskala besar di bawah liputan kami iaitu Sime Darby Property dan SP Setia mengunjurkan jualan yang lebih rendah berbanding sebelum tahap pandemik, menunjukkan kurangnya keyakinan terhadap pemulihan berterusan.
"Perlu diingat, di sebalik situasi ini, ia disokong pelbagai dasar akomodatif yang menyediakan sokongan sementara terhadap sektor ini," katanya.
Antara yang dilaksanakan kerajaan, termasuklah, kempen pemilihan rumah (HOC) dan margin pinjaman yang rendah (untuk rumah ketiga) akan berakhir Mei ini manakala pengecualian RGPT berakhir Disember 2021.
Selain itu, jelas beliau, nisbah hutang isi rumah berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang tinggi ketika ini mencecah 93.3% dan polisi yang ketat turut memberi cabaran kepada pemulihan sektor hartanah.
Berbanding 2009, nisbah hutang isi rumah hanya 72% dan meningkat kepada 83% pada 2019. Tetapi ia melonjak sehingga 93% (menurut data Bank Negara Malaysia) pada 2020.
"Ini bermakna, jualan hartanah pada masa akan datang agak terhad memandangkan nisbah hutang ketika ini sudah cukup tinggi," jelasnya.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz pada Isnin berkata, sektor hartanah dijangka pulih selari dengan pertumbuhan ekonomi yang diunjurkan di antara 6.0 peratus dengan 7.5 peratus tahun ini.
Beliau berkata ini akan didorong oleh fokus dan strategi ekonomi oleh kerajaan dengan pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan membolehkan lebih banyak sektor ekonomi beroperasi dan juga memulihkan pasaran buruh. - DagangNews.com