206 tapak pembinaan diarah tutup sejak 1 Jun | DagangNews Skip to main content

206 tapak pembinaan diarah tutup sejak 1 Jun

Tapak pembinaan. Gambar hiasan

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 9 Julai - Sebanyak 206 tapak pembinaan yang gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Pelan
Pemulihan Negara (PPN) diarah tutup serta-merta sejak 1 Jun baru-baru ini.

 

Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan (CIDB) berkata,  jumlah berkenaan adalah hasil daripada pemeriksaan sebanyak 4,600 tapak pembinaan yang dijalankan pihaknya.

 

"Daripada jumlah berkenaan sebanyak 903 (20%) tapak pembinaan didapati beroperasi, manakala sebanyak 3,697 (80%) tidak beroperasi.

 

"Daripada 903 tapak yang beroperasi didapati 206 tapak pembinaan (23%) tidak mematuhi SOP, manakala 697 (77%) tapak lagi mematuhi SOP. 

 

"Kesemua 206 tapak pembinaan tidak mematuhi SOP berkenaan telah diarah tutup serta merta," katanya dalam satu kenyataan.

 

Mengulas lanjut, CIDB memberitahu, 46 daripada tapak pembinaan yang diarah tutup telah pun dibenarkan dibuka semula selepas mematuhi SOP yang ditetapkan.

 

Daripada 206 tapak pembinaan yang ditutup, sebanyak 55 terletak di Sarawak diikuti Selangor (45), Kuala Lumpur (18), Melaka (17), Johor (14), Sabah (12), P.Pinang (11), N.Sembilan (8), Pahang (8), Terengganu (6), Perak (4), Kedah (3), Perlis (3) dan Kelantan (2).

 

Manakala 46 yang dibuka semula meliputi Sarawak (15), Selangor (9), Melaka (7), Terengganu (4), Perak (4), Kuala Lumpur (2), Johor (2), Kelantan (1), Sabah (1) dan Kedah (1).

 

Dalam laporan hari ini, CIDB memberitahu, dua tapak pembinaan diarahkan tutup atas kesalahan sama iaitu tidak mematuhi SOP ditetapkan.

 

Kesalahan tersebut dikesan di satu tapak pembinaan di Pulau Pinang dan Pahang.

 

Bagi kes di Pulau Pinang, tapak bina tersebut yang merupakan bangunan perumahan telah diarahkan untuk menghentikan operasi dengan serta-merta oleh pasukan penguatkuasa kerana ketidakpatuhan terhadap senarai semak SOP MKN COVID-19.

 

Satu lagi tapak pembinaan di Pahang telah diarahkan untuk menghentikan operasi serta-merta oleh Penguatkuasa CIDB Negeri Pahang di atas kesalahan menggunakan surat MITI yang bercanggah dengan kerja, tidak mempunyai kelulusan penginapan oleh Jabatan Tenaga Kerja (JTK)/Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) selain tiada imbasan QR kod MySejahtera di tapak binaan. - DagangNews.com