KUALA LUMPUR 28 Julai - Malaysia mencatatkan kematian harian tertinggi untuk dua hari berturut-turut sejak penularan COVID-19 di negara ini dengan 207 kes dilaporkan pada Selasa, selepas angka yang sama dicatat pada Isnin lalu.
Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah dalam kenyataan berkata, pertambahan kes itu menjadikan jumlah keseluruhan kematian di negara ini sebanyak 8,408 kes atau 0.81% daripada jumlah keseluruhan kes.
Beliau berkata kes kematian pada Selasa membabitkan 181 warga negara, manakala 26 lagi warga asing.
Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, daripada 16,117 kes baharu pada Selasa, kategori lima iaitu kes kritikal dan menggunakan ventilator adalah sebanyak 87 kes atau 0.5% dengan 95.4% tiada sejarah vaksinasi.
Katanya, kategori empat yang memerlukan bantuan oksigen adalah sebanyak 124 kes atau 0.8% dengan 83.9% tiada sejarah vaksinasi.
“Kategori tiga melibatkan radang paru-paru sebanyak 135 kes atau 0.8% dengan 73.3% tiada sejarah vaksinasi.
“Bagi kategori dua dengan gejala ringan sebanyak 6,710 kes atau 41.6% dengan 79.5% tiada sejarah vaksinasi manakala kategori satu tiada gejala merekodkan sebanyak 9,061 kes atau 56.3% dengan 94.4% tiada sejarah vaksinasi,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata, dapatan itu adalah berdasarkan keadaan klinikal pesakit semasa baharu didiagnosis COVID-19.
“Ada antara mereka kekal di kategori yang sama sepanjang tempoh jangkitan, namun ada juga yang berubah status sama ada bertambah baik atau merosot ke kategori lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata secara keseluruhannya, pada permulaan diagnosis, 2.1% kes dilaporkan hari ini berada pada kategori tiga hingga lima (82.7% tiada sejarah vaksinasi) dan 97.9% kes pada kategori satu dan dua (88.1% tiada sejarah vaksinasi). - DagangNews.com