25,000 pengunjung dijangka hadir Pameran Food & Hotel Malaysia pada 19 hingga 22 September 2023 | DagangNews Skip to main content

25,000 pengunjung dijangka hadir Pameran Food & Hotel Malaysia pada 19 hingga 22 September 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 27 April - Seramai 25,000 pengunjung dijangka menghadiri Pameran Food & Hotel Malaysia (FHM) yang dinanti-nantikan dan terbesar setakat ini, yang akan berlangsung dari 19 hingga 22 September 2023 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

 

Acara makanan dan hospitaliti perdagangan utama dwi-tahunan ini telah masuk edisi ke-17, yang akan mempamerkan 1,500 jenama dan syarikat yang mengambil bahagian sepanjang berlangsung acara selama empat hari itu.

 

Lapan astaka antarabangsa juga telah mengesahkan penyertaan mereka, dengan kontinjen dari Australia, China, Jepun, Singapura, Taiwan, Tunisia, Turki, Amerika Syarikat dan negara lain bersedia untuk mempamerkan tawaran terbaharu mereka di FHM 2023.

 

Pengurus Besar Negara Informa Markets Malaysia, Gerard Leeuwenburgh berkata, FHM terus menjadi saluran teratas untuk pemain industri berhubung, memacu inovasi dan menemui prospek pertumbuhan perniagaan.

 

"Sebagai acara utama untuk industri makanan dan hospitaliti Malaysia, kami sangat teruja untuk memperluaskan acara kami ke 10 dewan tahun ini supaya kami boleh mengalu-alukan lebih ramai pemain industri untuk mendapat manfaat daripada peluang di sini. 

 

"Dengan tema berkisar kemampanan, kami berharap dapat membawa bersama pemimpin industri dan inovator untuk bertukar idea, menjalin hubungan baharu, dan memacu industri ke arah masa depan yang lebih mampan," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Pada tahun ini, Informa Markets juga berbesar hati mengumumkan bahawa HOTELEX Malaysia akan beroperasi serentak dengan FHM 2023 buat julung kalinya, menghimpunkan dua pameran dagangan unggul yang mengetuai makanan dan hospitaliti industri di bawah satu bumbung.

 

 

fhm

 

 

Timbalan Pengurus Besar Eksekutif HOTELEX, Helen Fan berkata, pameran itu menghubungkan katering Cina dan antarabangsa serta pembekal hospitaliti dengan pembeli makanan dan minuman (F&B)dan HoReCa dari seluruh dunia. 

 

"Ia akan menjadi kerjasama besar yang memberi manfaat kepada semua pemain industri. Dengan acara gabungan berskala besar di bawah satu bumbung, kami boleh menawarkan rangkaian profil pempamer yang lebih komprehensif untuk memenuhi keperluan pembeli profesional dari seluruh dunia," katanya.

 

Dengan pelbagai jenis pempamer merentasi 16 profil yang merangkumi semua jenis bekalan dapur dan hotel, HOTELEX membolehkan pembeli domestik dan antarabangsa berhubung dengan pembekal di seluruh industri, menjadikannya kedai sehenti untuk semua keperluan mereka. - DagangNews.com