KUALA LUMPUR 4 April - Kementerian Sumber Manusia telah meluluskan sebanyak 2,605 permohonan pekerja warga asing dalam sektor perkilangan dan sektor perladangan.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, setakat 1 April 2022 sebanyak 475,678 permohonan pekerja warga asing telah diterima dalam sektor perkilangan (290,248), perkhidmatan (77,000), perladangan (53,854), pembinaan (43,519), pertanian (11,037) dan perlombongan & pengkuarian (20).
Beliau berkata, permohonan oleh majikan untuk pekerja warga asing bagi semua sektor pekerjaan yang dibenarkan penggajian pekerja warga asing telah mula dibuka pada 15 Februari 2022.
"Permohonan pekerja warga asing ini telah mula diproses dan sehingga kini, seramai 2,605 pekerja warga asing telah diluluskan dalam sektor perkilangan dan sektor perladangan.
"Terdapat juga permohonan yang tidak dapat diproses kerana dokumen tidak lengkap dan tidak membawa salinan dokumen asal, maklumat salah, jumlah melebihi kuota dan lain-lain," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Saravanan berkata, beliau ingin mengingatkan semua majikan yang memohon pekerja warga asing untuk membuat permohonan secara dalam talian dan sebarang permohonan yang dibuat secara manual tidak akan dipertimbangkan.
"Selain itu, semua majikan juga perlu memastikan semua permohonan dalam talian yang dikemukakan adalah lengkap bagi mengelakkan permohonan tersebut ditolak atau tidak dapat diproses," katanya. - DagangNews.com