329 KIR di Gombak, Sepang terima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan RM2,500 - PM | DagangNews Skip to main content

329 KIR di Gombak, Sepang terima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan RM2,500 - PM

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN
mohdzulfadli@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 11 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak 329 ketua isi rumah (KIR) telah menerima Bantuan Pembelian Barangan Keperluan bernilai RM2,500 khususnya kepada mangsa banjir di sekitar Gombak dan Sepang. 

 

Ismail berkata, bantuan itu dikreditkan secara terus ke ke akaun penerima melalui pindahan dana elektronik (EFT) dan proses penyaluran bantuan itu dilaksanakan sepenuhnya oleh Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri melalui pejabat-pejabat pembangunan negeri.

 

"Selain EFT, kaedah serahan adalah secara tunai di Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) dan agihan dari rumah ke rumah.

 

"KIR yang telah menerima BWI tidak perlu membuat pendaftaran semula bagi menerima bantuan ini," katanya," kata Perdana Menteri dalam ciapan di Twitter. 

 

Perdana Menteri berharap semua inisiatif itu dapat membantu meringankan beban Keluarga Malaysia yang terkesan dan dapat ditangani segera supaya usaha kerajaan dapat ditumpukan kepada pemulihan pertumbuhan ekonomi dan pembangunan negara pada masa akan datang.

pm

Ismail Sabri berkata, pembayaran inisiatif bantuan meringankan beban mangsa banjir antaranya sumbangan pembelian barangan keperluan berjumlah RM2,500 akan disalurkan bermula semalam.

 

Selain menggesa bantuan banjir perlu disegerakan, Perdana Menteri memaklumkan bantuan bukan sahaja dalam bentuk pemberian wang tunai, malah kerajaan akan turut membaiki rumah serta menyalurkan bantuan-bantuan lain untuk mangsa banjir di seluruh negara.

 

"Mempermudahkan, bukan menyulitkan, mempercepatkan bukan melewatkan dalam menyampaikan bantuan kepada semua mangsa banjir tanpa mengira kaum dan latar belakang.

 

"Banyak cabaran yang menerpa kita, namun saya optimis dalam memastikan kesejahteraan setiap ahli Keluarga Malaysia.

 

"#KeepStrong Keluarga Malaysia, InsyaAllah kita akan mampu tempuhi cabaran ini bersama-sama," katanya. - DagangNews.com