3REN terima kelulusan penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia | DagangNews Skip to main content

3REN terima kelulusan penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 8 Ogos - 3REN Bhd menerima kelulusan daripada Bursa Malaysia Securities Bhd untuk disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Malaysia.

 

Tawaran awam permulaan (IPO) syarikat perkhidmatan kejuruteraan itu melibatkan terbitan awam sebanyak 110 juta saham baharu dan tawaran untuk penjualan 45 juta saham sedia ada.

 

Daripada 155 juta saham ini, 32.5 juta saham akan disediakan kepada orang ramai Malaysia.

 

Sebanyak 30 juta saham lagi akan disediakan kepada permohonan oleh pengarah yang layak, pengurusan kanan utama, pekerja dan individu yang telah menyumbang kepada kejayaan kumpulan.

 

Sejumlah 48.8 juta saham akan diperuntukkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan oleh Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian (MITI) manakala baki 43.7 juta saham akan ditawarkan melalui penempatan persendirian kepada pelabur terpilih.

 

Pengarah Eksekutif  dan Ketua Pegawai Eksekutif 3REN, Koh Dim Kuan berkata, pihaknya menjangka pertumbuhan yang mampan pada tahun-tahun akan datang, didorong oleh beberapa rangsangan pertumbuhan seperti pembuatan pintar, pendigitalan dan kecerdasan buatan (AI) serta industri semikonduktor dan elektronik.

 

Beliau berkata, keadaan akan bertambah baik menerusi peningkatan penyumberan luar dan penempatan semula aktiviti pembuatan semikonduktor oleh syarikat multinasional ke Malaysia dan pelbagai inisiatif/rancangan oleh kerajaan Malaysia bagi meningkatkan rantaian nilai dalam industri semikonduktor.

 

“Kelulusan IPO menandakan peristiwa penting bagi 3REN, ketika kami maju ke arah menjadi syarikat tersenarai awam, membolehkan kumpulan mengakses pasaran modal ekuiti bagi pertumbuhan seterusnya.

 

"Ia seterusnya akan meningkatkan keupayaan dan sumber keseluruhan yang akan membolehkan kami menawarkan rumusan automasi dan perkhidmatan kejuruteraan yang lebih canggih, dan meningkatkan kehadiran pasaran," katanya.

 

KAF Investment Bank Bhd merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal untuk pelaksanaan IPO ini.- DagangNews.com