43% pengguna Malaysia cenderung sokong perniagaan yang melabur dalam inisiatif ESG dan kelestarian — kajian Visa | DagangNews Skip to main content

43% pengguna Malaysia cenderung sokong perniagaan yang melabur dalam inisiatif ESG dan kelestarian — kajian Visa

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - 43% pengguna Malaysia cenderung menyokong perniagaan yang melabur dalam inisiatif alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan kelestarian, sementara 15% responden sanggup membayar tambahan untuk menyokong, menurut kajian Visa.

 

Hasil kajian Sikap Pembayaran Pengguna (CPA) di Malaysia tersebut turut mendapati bahawa 80% pengguna Malaysia sedar kesan pencemaran alam sekitar terhadap masyarakat dan merancang langkah untuk meminimumkan kesannya.

 

Ia juga mendedahkan bahawa pengguna melihat pembayaran digital sebagai cara pembayaran lebih mesra alam berbanding tunai, di mana tiga cara pembayaran yang menjadi pilihan teratas adalah dompet mudah alih (94%), perbankan internet (93%) serta kad kredit, debit dan prabayar (90%).

 

Kajian berkenaan turut mendapati bahawa 39% responden berkata mereka sudah aktif dalam meminimumkan kesan alam sekitar dalam penggunaan mereka, manakala 41% merancang untuk mengambil langkah ke arah penggunaan bertanggungjawab.

 

Di samping itu, kajian Visa juga mendapati bahawa rakyat Malaysia sangat berminat dengan kad pembayaran mampan yang diperbuat daripada bahan kitar semula, dengan 68% responden menyatakan keutamaan untuk kad tersebut.

 

“Selain itu, 63% responden menunjukkan keinginan yang kuat untuk pendidikan peribadi mengenai penggunaan mampan, menekankan keperluan peningkatan kesedaran dan bimbingan untuk membolehkan pilihan bertanggungjawab,” tambahnya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut Visa, pengguna Malaysia juga bersedia menyumbang kepada amalan 'hijau', di mana 56% pengguna bersedia untuk menderma sebahagian daripada mata ganjaran mereka bagi menyokong inisiatif yang tertumpu kepada aktiviti membendung pencemaran, mempromosi bahan mampan dan perbelanjaan pengurusan sisa yang lebih baik.

 

Selain itu, pengguna menyatakan kesediaan mereka untuk menyumbang kepada masyarakat, seperti pemulihan bencana (26%), makanan untuk semua (25%) dan kesihatan awam (19%).

 

Pengurus Negara Visa bagi Malaysia, Ng Kong Boon berkata syarikat itu kekal teguh dalam mempromosikan penggunaan bertanggungjawab melalui inisiatif ESG.

 

 

Ng Kong Boon
Ng Kong Boon

 

 

“Visa melancarkan Visa Eco Benefits tahun lepas iaitu rumusan bertumpukan kelestarian yang membolehkan pemegang kadmengira jejak karbon yang dijana oleh urus niaga mereka dan pilihan akses untuk mengimbangi karbon dan derma amal melalui laman web atau aplikasi bank pilihan pengguna.

 

“Melalui tawaran produk pembayaran yang mampan ini, Visa menyasarkan untuk memperkasakan pengguna Malaysia dalam menyelaraskan transaksi kewangan mereka dengan nilai alam sekitar mereka, agar mereka boleh mengurangkan jejak karbon mereka,” katanya. - DagangNews.com