KUALA LUMPUR 7 Jun - Persatuan Pemilik Kedai Kopi Malaysia-Singapura (MSCSPGA) dan 44 persatuan gabungannya merayu kepada Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mempertimbangkan semula keputusan membentangkan Rang Undang-Undang Kawalan Produk Tembakau dan Merokok 2022 yang merangkumi dasar penamat generasi perokok (GEG).
Presiden MSCSPGA, Wong Teu Hoon berkata, pihaknya juga menyeru semua Ahli Parlimen dan menegaskan bahawa rang undang-undang itu sendiri masih belum sempurna dan tidak akan menangani isu tersebut di Malaysia.
"Kami ingin menyuarakan kebimbangan kepada KKM dan semua Ahli Parlimen bahawa rang undang-undang itu tidak boleh dibentangkan secara terburu-buru kerana masih banyak perkara yang perlu diteliti semula, agar tidak mendatangkan lebih banyak mudarat daripada kebaikan dan seterusnya menggagalkan objektif untuk mengurangkan jumlah perokok.
“Kami percaya bahawa pendidikan adalah kunci utama untuk mengurangkan kelaziman merokok, dan kerajaan harus tegas, mengambil langkah mengawal perokok dengan memperluaskan kawasan larangan merokok dan menjalankan lebih banyak penguatkuasaan terhadap perokok bawah umur.
"Larangan merokok untuk generasi baru tidak akan menyelesaikan masalah ini, dan pendekatan yang lebih seimbang diperlukan untuk mengelak sebarang masalah dikemudian hari," katanya dalam kenyataan.
Wong berkata, MSCSPGA dan 44 persatuan gabungannya juga percaya bahawa jika kerajaan menguatkuasakan larangan merokok bagi mereka yang lahir selepas 2007, ia akan memaksa perokok untuk membeli produk tembakau daripada saluran tidak sah yang akan memburukkan lagi masalah perdagangan rokok seludup di Malaysia.
"Penjualan produk tembakau merupakan salah satu sumber pendapatan peniaga kedai kopi di Malaysia dan jika larangan ini dikuatkuasakan, ia sudah pasti akan mendorong perokok untuk memilih rokok seludup dan seterusnya menjejaskan pendapatan serta kutipan cukai kepada negara.
"Dengan ini, pendapatan kami akan turut terjejas, dan yang lebih mengecewakan ialah dunia kini sedang berhadapan dengan kemelesetan ekonomi yang tidak pernah berlaku sebelum ini," ujar beliau.
Katanya, satu lagi kebimbangan utama adalah aspek penguatkuasaan GEG, yang mana pihaknya menjangkakan bahawa mereka perlu menjadi barisan hadapan untuk menguatkuasakan GEG kerana kos bagi Kerajaan untuk menempatkan pegawai penguatkuasa di setiap kedai adalah mustahil.
"Kami pernah melihat dan mengalami situasi sama, yang telah dilaksanakan oleh kerajaan sebelum ini. Dukacita bahawa akhirnya kami para peniaga yang terpaksa memikul tanggungjawab untuk memastikan undang-undang ini dikuatkuasakan di dalam premis kami. Jika ini berlaku, kos operasi kami pasti akan meningkat dan mungkin perniagaan kami akan gulung tikar," katanya.
Katanya, peniaga juga bimbang berkenaan penalti yang dikenakan di bawah RUU GEG. Mana-mana peniaga yang ditangkap menjual rokok kepada individu yang dilahirkan selepas 2007 akan didenda minimum RM30,000 atau penjara sehingga 3 tahun atau kedua-duanya sekali.
"Pada dasarnya, kami menyokong agenda kerajaan untuk mengurangkan jumlah perokok di Malaysia. Oleh itu, kami meminta kerajaan menghentikan kelulusan rang undang-undang itu dan kajian serta perundingan komprehensif harus diadakan dengan pihak berkepentingan yang berkaitan," katanya.
Tambahnya, pihaknya berbesar hati untuk bekerjasama dengan kerajaan untuk menambah baik rang undang-undang dan menggesa KKM dan Ahli Parlimen untuk mengambil pandangan mereka serta tidak membuat sebarang keputusan tergesa-gesa dalam meluluskan dasar yang masih belum diuji.
"GEG tidak semudah yang difikirkan untuk dilaksanakan, berbanding umur minimum untuk rokok atau alkohol. Ini kerana penduduk yang terjejas dengan GEG akan bertambah tua setiap tahun," katanya. - DagangNews.com