4,536 pencari kerja manfaatkan aplikasi Talent Perak  | DagangNews Skip to main content

4,536 pencari kerja manfaatkan aplikasi Talent Perak 

Pasak memberi tumpuan pada golongan belia, ibu tunggal dan lepasan graduan anak-anak Perak dalam mencari pekerjaan.
Oleh ZAKI SALLEH 

IPOH 19 Jan - Sebanyak 122 syarikat telah menawarkan peluang pekerjaan melalui aplikasi Talent Perak sejak pelancaran aplikasi itu pada 20 September tahun lalu dalam Google Play Store. 

 

Sektor-sektor yang terlibat adalah dalam bidang perkhidmatan, pembuatan, pembinaan dan pertanian yang terdapat di negeri Perak. 

 

Sehingga kini sebanyak 4,536 permohonan daripada pengguna diterima dan telah disalurkan kepada majikan yang berkaitan untuk urusan tapisan dan sesi temuduga.

 

Aplikasi Talent Perak ini dibangunkan sepenuhnya oleh Pusat Aspirasi Anak Perak (Pasak) yang merupakan sebuah agensi pembangunan sumber manusia kendalian kerajaan negeri.

 

Pasak merupakan kesinambungan daripada Pusat Kerjaya Amanjaya (PeKA) yang ditubuhkan pada tahun 2011. 

 

Pengurus Besar Pasak, Mohamad Fikri Mohd Junit berkata, fungsi agensi tersebut ialah dalam membantu menguruskan jawatan kosong khususnya buat anak-anak negeri.

 

Menurut beliau, aplikasi ini merupakan ‘one stop centre’ yang menawarkan peluang pekerjaan di hujung jari sahaja.

 

 

talent
Golongan pencari kerja perlu memanfaatkan aplikasi Talent Perak sebagai inisiatif mendapatkan pekerjaan yang sesuai.

 

 

"Aplikasi Talent Perak ini juga menawarkan fungsi 'kerja berdekatan saya' yang mana pengguna dapat melihat senarai majikan dan lokasi syarikat yang menawarkan jawatan kosong berdekatan lokasi masing-masing. 

 

"Carian jawatan kosong tertumpu di kawasan spesifik mengikut daerah atau bandar pengguna.

 

 

talent

 

 

"Pengguna boleh melayari latar belakang ringkas syarikat dengan mudah menerima notifikasi in-app untuk sesi temuduga," ujarnya kepada DagangNews.

 

Jelas Mohamad Fikri, fungsi ini memudahkan pengguna semasa melayari maklumat berkaitan carian kerja secara interaktif.

 

 

talent
Aplikasi Talent Perak boleh dimuat turun menerusi Google Play Store.

 

 

Selain itu, pengguna juga boleh mendapatkan informasi terkini berkenaan dengan senarai program, latihan softskills dan kursus kemahiran yang dianjurkan oleh Pasak pada aplikasi ini. - DagangNews.com