5 projek berimpak tinggi akan dibangunkan menerusi NETR Fasa 1 - Rafizi | DagangNews Skip to main content

5 projek berimpak tinggi akan dibangunkan menerusi NETR Fasa 1 - Rafizi

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Julai - Sejumlah lima projek berimpak tinggi akan dibangunkan di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) Fasa 1 termasuk pembangunan Solar Terapung Hidro Hibrid.

 

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, projek pembangunan itu melibatkan pembangunan solar terapung dengan potensi kapasiti keseluruhan 2,500 MW di empangan hidro TNB bagi penjanaan elektrik merangkap stor simpanan tenaga.

 

Katanya, projek berikutnya adalah solar kediaman melibatkan pembinaan 4.5MW solar bumbung di kediaman melalui sistem penyewaan dengan kapasiti sehingga 10kW bagi setiap kediaman manakala projek seterusnya adalah pemasangan 10,000 stesen pengecas kenderaan elektrik di lebuh raya dan serta bangunan komersial serta projek elektrifikasi pengangkutan awam.

 

"Sejumlah tiga projek pengeluaran hidrogen hijau akan dilaksanakan di bawah NETR, sekali gus menjadikan Sarawak sebagai hab hidrogen hijau serantau.

 

"Komponen projek merangkumi pembinaan kilang pengeluaran di Kuching menjelang tahun 2025 untuk kegunaan domestik dan dua kilang pengeluaran di Bintulu menjelang tahun 2027 bagi tujuan eksport.

 

"Pembangunan projek rintis Pemerolehan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di lapangan gas dengan kandungan karbondioksida tinggi di Kasawari dan Lang Lebah yang dijangka beroperasi menjelang tahun 2026 dan 2028," katanya dalam satu kenyatan, hari ini.

 

Malaysia telah melancarkan NETR bagi mengemudi peralihan sektor tenaga ke arah mencapai sasaran pelepasan GHG sifar bersih seawal-awalnya pada tahun 2050. 

 

Komitmen ini dijangka memerlukan pembiayaan yang dianggarkan bernilai antara RM435 bilion sehingga RM1.85 trilion.

 

NETR Fasa 1 menyasarkan peluang pelaburan melebihi RM25 bilion, pewujudan 23,000 peluang pekerjaan yang berkemahiran dan bernilai tinggi, serta mengurangkan 10,000 gigagram pelepasan karbon dioksida setara setahun dengan enam pemacu peralihan tenaga, iaitu kecekapan tenaga (EE), tenaga boleh baharu (RE), hidrogen, biotenaga, mobiliti hijau, dan pemerangkapan, penggunaan, dan penyimpanan karbon.

 

Rafizi berkata, NETR bakal membuka lembaran baharu naratif pembangunan negara melalui usaha bersepadu bagi menjadikan Malaysia negara peneraju serantau dalam peralihan tenaga. 

 

Katanya, Indeks Peralihan Tenaga 2023 (Energy Transition Index) oleh World Economic Forum (WEF) telah meletakkan Malaysia di kedudukan pertama di Asia Tenggara, sekali gus mengesahkan potensi dan ketersediaan negara untuk menarik pelaburan global dalam bidang RE dan teknologi hijau bagi memacu peralihan tenaga.

 

"Kerajaan dijangka akan memuktamadkan hasil kajian NETR melalui pelancaran NETR Fasa 2 dalam beberapa minggu lagi. 

 

"Dokumen ini dijangka akan menzahirkan laluan rendah karbon, campuran tenaga utama dan sasaran pengurangan pelepasan GHG oleh sektor tenaga melalui pelan tindakan dan inisiatif bersesuaian, selain merangsang potensi pelaburan dan penerokaan rantaian nilai baharu dalam industri tenaga bersih," katanya.- DagangNews.com