59% pemilik rumah tiada perlindungan insurans, takaful daripada kerosakan akibat kebakaran | DagangNews Skip to main content

59% pemilik rumah tiada perlindungan insurans, takaful daripada kerosakan akibat kebakaran

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 15 Dis - Hasil kajian Zurich Malaysia mendapati, 59% pemilik rumah di negara ini tidak mempunyai perlindungan daripada kerosakan akibat kebakaran.

 

Kajian itu juga mendapati, 43% pemilik rumah tidak menyedari bahawa kandungan rumah seperti perabot seperti meja dan kerusi, peralatan, komputer dan peranti mudah alih yang terdapat di dalam rumah mereka tidak semestinya dilindungi di bawah insurans atau takaful rumah.

 

Hasil kajian juga menyebut, satu daripada tiga pemilik rumah (33%) yang diinsuranskan tidak mempunyai perlindungan kandungan rumah, bagi mereka yang mempunyai perlindungan, 13% membeli pelan berasingan khusus untuk melindungi kandungan rumah mereka manakala 25% lagi tidak pasti tentang perlindungan yang dimiliki.

 

Perkara itu dilihat sangat membimbangkan kerana Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima 38,865 panggilan meliputi kes kebakaran pada 2020 dengan purata satu panggilan setiap 14 minit. 

 

4,599 kes kebakaran yang melibatkan bangunan dan kandungannya dan 1,239 daripadanya berpunca daripada kerosakan elektrik manakala 342 disebabkan oleh gas atau kerosin. 

 

Punca-punca lain adalah puntung rokok, ubat nyamuk, lilin dan batang colok.

 

zurich

 

Kajian itu juga menyebut, kerugian yang dianggarkan akibat kebakaran itu adalah sebanyak RM2.25 bilion namun jumlah itu lebih rendah berbanding RM3.61 bilion yang dicatatkan pada 2019.

 

Ketua Zurich Malaysia, Junior Cho berkata, rumah seharusnya menjadi ruang yang selamat untuk didiami, belajar dan bermain. 

 

"Jadi, perlu ada usaha dan komunikasi yang menyeluruh untuk memaklumkan pemilik rumah sedia ada dan bakal pemilik tentang jenis insurans atau takaful yang sesuai untuk melindungi aset mereka dan mengekalkan cara hidup mereka. 

 

zurich
Junior Cho

 

"Pastinya kita berasa lebih tenang dan yakin apabila mengetahui bahawa bumbung di atas orang yang mereka sayangi dilindungi, yang akan membantu mereka memenuhi potensi hidup mereka," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Dalam pada itu, dua pertiga atau 74% pemilik rumah tidak memiliki perlindungan terhadap kerosakan akibat banjir meskipun Malaysia mengalami kitaran musim tengkujuh setiap tahun.

 

Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) menganggarkan 4.8 juta orang tinggal di kawasan berisiko banjir di seluruh negara. 

 

Semasa monsun timur laut 2020-2021, banjir telah menyebabkan 42,947 orang kehilangan tempat tinggal dan telah menjejaskan 11,973 keluarga. - DagangNews.com