6 Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun - Perdana Menteri | DagangNews Skip to main content

6 Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya untuk tempoh 10 tahun - Perdana Menteri

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memegang potret Harimau Malaysia selepas mempengerusikan msyuarat pertama Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya, hari ini.

 

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 10 Jan - Pasukan Petugas Kebangsaan Bagi Konservasi Harimau Malaya atau National Tiger Conservation Task Force (MyTTF) menggariskan enam Tindakan Strategik Bagi Konservasi Harimau Malaya bagi tempoh 10 tahun sehingga 2030.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, antara tindakan yang akan diambil termasuk rondaan penguatkuasaan dan pengawalan (boots on the ground) melibatkan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta komuniti Orang Asli.

 

Beliau berkata, pengekalan dan pengukuhan habitat melalui pengurusan guna tanah yang mampan dan menghentikan sebarang kegiatan pencerobohan serta aktiviti pemburuan haram selain meningkatkan kawasan berhutan sedia ada di Semenanjung Malaysia daripada 43.41% kepada 50% menjelang tahun 2040 selaras dengan Rancangan Fizikal Negara Keempat.

 

"Permerkasaan urus tadbir berkesan melalui penubuhan Unit Konservasi Harimau Malaya di bawah Perhilitan, Biro Jenayah Hidupan Liar di bawah PDRM, dan pengukuhan Makmal Forensik Hidupan Liar Kebangsaan sebagai pusat kecemerlangan bagi konservasi ex-situ Harimau Malaya.

 

"Memperkasakan instrumen kewangan inovatif sebagai tambahan kepada insentif kewangan Ecological Fiscal Transfer for Biodiversity Conservation yang sedia ada dan pelaksanaan skim akreditasi habitat Harimau Malaya.

 

"Pada masa sama kerajaan juga akan mengadakan Kempen Selamatkan Harimau Malaya bagi meningkatkan kesedaran dan penglibatan rakan strategik," katanya dalam satu kenyataan selepas mempengerusikan mesyuarat MyTTF pertama, hari ini.

 

pm

 

Mesyuarat itu dihadiri Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun; Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari selain Ahli Majlis Kerajaan Negeri mewakili Menteri Besar Kelantan, Terengganu, Johor, Kedah serta Perak.

 

Hadir sama Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz serta wakil jabatan serta agensi berkaitan.

 

Ismail Sabri berkata, penubuhan MyTTF merupakan kesepakatan dan komitmen tinggi Kerajaan Persekutuan dan negeri dalam menangani krisis populasi Harimau Malaya dan ia menjadi platform rundingan bagi dasar, perundangan serta strategi untuk konservasi Harimau Malaya termasuk habitatnya.

 

pm

 

Perdana Menteri berkata, kerajaan serius menangani isu populasi Harimau Malaya atau nama saintifiknya Panthera Tigris Jacksoni di hutan negara yang kini direkodkan kurang daripada 150 ekor akibat kehilangan habitat dan sumber makanan ekoran perubahan guna tanah, pemburuan serta perdagangan haram selain penularan virus canine distemper.

 

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, kerajaan sudah meminda Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) dan diluluskan Parlimen pada 21 Disember 2021 untuk meningkatkan keberkesanan perundangan konservasi hidupan liar termasuk Harimau Malaya. 

 

"Melalui pindaan tersebut, denda maksimum telah ditingkatkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta dan hukuman penjara maksimum daripada 10 tahun kepada 15 tahun supaya dapat mencegah dan memberikan pengajaran sewajarnya kepada pelaku jenayah hidupan liar. 

 

"Terdapat peruntukan baharu bagi membolehkan tindakan diambil terhadap individu yang mengiklankan penjualan hidupan liar 
dalam talian.

 

"Jika tindakan segera tidak dilakukan, Malaysia berhadapan dengan risiko kepupusan Harimau Malaya yang menjadi simbol Jata Negara, lambang negeri-negeri serta pelbagai kementerian, jabatan dan agensi. Lebih membimbangkan, spesies ikonik negara akan hilang buat selama-lamanya," katanya. - DagangNews.com