60,000 dijangka kunjungi i-City sempena sambutan ambang tahun baharu 2023 | DagangNews Skip to main content

60,000 dijangka kunjungi i-City sempena sambutan ambang tahun baharu 2023

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 16 Dis - Kira-kira 60,000 pengunjung dijangka melawat i-City, Shah Alam, Selangor sempena sambutan ambang tahun baharu 2023 tidak lama lagi.

 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli negeri, Hee Loy Sian berkata, jenama global berskala besar telah berkumpul di lokasi dan bersatu dalam usaha untuk memeriahkan suasananya. 

 

Beliau berkata, kelahiran i-City Finance Avenue telah menarik pemain global seperti Central Pattana, DoubleTree by Hilton dan Maybank untuk membuka pintu mereka di sini.

 

“Sinergi antara tapak korporat, hotel dan pusat membeli-belah menambah tarikan koridor barat Shah Alam sebagai lokasi utama untuk mesyuarat, insentif, persidangan dan pameran yang akan memacu penerimaan pelancong bernilai tinggi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Hee berkata, kerajaan negeri berbesar hati bahawa pemain global seperti Central i-City Mall, DoubleTree by Hilton dan Maybank bekerjasama dengan pemaju i-City I-Berhad tahun ini untuk menganjurkan sambutan tahun baharu terbesar.

 

Pengarah Eksekutif I-Berhad, Ricky Lim Boon Soon pula berkata, pelanggan Central i-City Mall akan menikmati masa yang panjang untuk membeli-belah dan menjamu selera sambil menunggu pertunjukan bunga api bermula.

 

"Kami telah menyusun dengan teliti pertunjukan bunga api yang menakjubkan yang boleh dilihat dari DoubleTree by Hilton dan hotel Best Western pada tengah malam," katanya.

 

 

icity

 

 

Lim berkata, taman tema i-City telah dianugerahkan oleh CNN Travel sebagai antara 25 tempat paling terang dan paling berwarna-warni di dunia pada 2017.

 

Awal tahun ini, i-City telah menjanjikan pelaburan sebanyak RM10 juta untuk menambah baik taman tema itu bagi menjadikan pengalaman taman tema itu lebih mengasyikkan.

 

Selain itu, i-City akan menganjurkan bazar bermula 23 Disember di CityWalk, i-City, yang menampilkan jenama termasuk CelcomDigi, Doc2Us, Maybank, Hilton dan lain-lain. 

 

Jenama ini akan mempamerkan unjuran interaktif dan pengalaman holografik, imbasan kesihatan AI, selain terdapat lebih 100 Pasar Artisan dan pameran Halal Hub Street yang dipamerkan sebagai sokongan kepada kraf buatan tangan dan industri makanan tempatan.

 

Pemula teknologi dan AI, tukang kraftangan yang berminat untuk mempamerkan produk dan perkhidmatan mereka boleh berhubung dengan i-City melalui WhatsApp di talian 011-16312019. - DagangNews.com