6,051 graduan terima skrol pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47 | DagangNews Skip to main content

6,051 graduan terima skrol pada Majlis Konvokesyen UPM ke-47

Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah beramah mesra dengan graduan program pertanian pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-47 Sidang 2 2023.
Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 23 Nov - Seramai 6,051 graduan pelbagai program pengajian yang akan menerima ijazah dan diploma masing-masing pada Majlis Konvokesyen Universiti Putra Malaysia (UPM) Ke-47 2023, bermula pada 25 November hingga 30 November ini.

 

Graduan berkenaan terdiri daripada 520 penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Ijazah Sarjana seramai 1,532 graduan, Bacelor (3,988) dan Diploma (11).

 

Sebelum ini, Majlis Konvokesyen ke-47 Sidang 1 UPM Kampus Bintulu (UPMKB) diadakan pada 4 November lalu dan seramai 487 graduan pelbagai program pengajian telah bergraduat.

 

Terdahulu, seramai 328 graduan pelbagai program pertanian diraikan pada Majlis Konvokesyen UPM Ke-47 Sidang 2 2023 di Dewan Besar, Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, UPM.

 

Tuanku Canselor UPM, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan mengurniakan penerima Ijazah Kehormat Doktor Kewangan kepada Tan Sri Azman Hashim serta Pengurniaan Gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Mad Nasir Shamsudin, Datuk Dr Abu Bakar Salleh dan Profesor Emeritus (Anumerta) kepada Allahyarham Datuk Dr Yaakob Che Man pada sesi pertama 25 November ini.

 

Baginda juga akan mengurniakan PhD, Sarjana (Master), Bacelor dan Diploma kepada graduan pada hari tersebut.


 
Majlis pengurniaan ijazah sebanyak enam sesi selama enam hari itu akan turut disempurnakan oleh tiga Pro Canselor UPM iaitu, Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada sesi ketiga (27 November), Prof Emeritus Tan Sri Dr Syed Jalaluddin Syed Salim pada sesi kedua (26 November) dan Prof Emeritus Datuk  Dr Muhamad Zohadie Bardaie pada sesi keempat (28 November), sesi kelima (29 November) dan sesi ketujuh (30 November).

 

 

upm
Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Ahmad Farhan Mohd Sadullah

 

 

Tengku Amir Shah berkenan menyempurnakan pengurniaan gelaran Profesor Emeritus kepada Datuk Dr Abdul Jalil Nordin, Dr Jinap Selamat dan Dr Robiah Yunus pada sesi ketiga (27 November).

 

Tuanku Canselor UPM juga berkenan mengurniakan hadiah kepada semua pemenang hadiah peringkat universiti iaitu Pingat Emas Canselor kepada Sharifah Norziana Sayed Salleh daripada program Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan; Anugerah Pelajaran Diraja (Bumiputra) kepada Nor Izwan Hakimi Nor Azmi program Bacelor Sains Biologi dengan Kepujian, Fakulti Sains.

 

Anugerah Pelajaran Diraja (bukan Bumiputra) kepada Ong Jia Xin program Bacelor Sains Biologi Sel dan Molekul Dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul dan Pingat Emas Alumni kepada Tan Pei Qin program Bacelor Sains Bioteknologi Dengan Kepujian, Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul.

 

Pingat lain universiti yang disampaikan baginda termasuk Pingat Emas Yayasan Pak Rashid kepada Dk Aniisah Khoirunnisaa’ Pg Kamaluddin program Bacelor Sains Pertanian, Fakulti Pertanian; Pingat Putra Agribio kepada Muhammad Maleq Isqandar Nor Jalal program Bacelor Kejuruteraan Pertanian dan Biosistem Dengan Kepujian, Fakulti Kejuruteraan; Pingat Razlan Putra kepada Jonathan Nyepa program Bacelor Sains (Pembangunan Sumber Manusia), Fakulti Pengajian Pendidikan.

 

Anugerah Keusahawanan Shell Tiram Wawasan kepada Hoh Jia Da program Bacelor Kejuruteraan Perisian, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat; Anugerah Tun Abdul Razak kepada Nur Fatihah Ahmad, program Bacelor Pendidikan Bimbingan dan Kaunseling, Fakulti Pengajian Pendidikan. - DagangNews.com