62% pekerja di Malaysia pilih fleksibiliti berbanding bekerja 4 hari seminggu | DagangNews Skip to main content

62% pekerja di Malaysia pilih fleksibiliti berbanding bekerja 4 hari seminggu

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 21 Jun - Dalam pada idea bekerja empat hari seminggu terus mendapat perhatian merentasi Asia Tenggara, penyelidikan Qualtrics baharu menunjukkan bahawa 60% pekerja penuh masa di Asia Tenggara memilih fleksibiliti untuk bekerja bila-bila masa berbanding dengan kurang satu hari bekerja (37%). 

 

Bagi pekerja di Malaysia, pilihan fleksibiliti lebih tinggi, dengan 62% memilihnya berbanding minggu bekerja yang lebih pendek (48%). Fleksibiliti juga pendorong yang lebih besar untuk syarikat mengekalkan pekerja (66%) berbanding bekerja empat hari seminggu (50%) di Asia Tenggara.

 

Dengan organisasi Asia Tenggara terus memperhalusi cara bekerja selepas dua tahun bekerja jarak jauh, dan pemimpin di Malaysia masih berbahas kebolehlaksanaan amalan bekerja empat hari seminggu, dapatan Qualtrics menunjukkan kepentingan berjaya menjajarkan program baharu yang diterima pakai dengan keperluan dan jangkaan pekerja. 

 

Bagi sepertiga pekerja di Asia Tenggara (33%), fleksibiliti bermakna kebebasan  menentukan jam bekerja. Selebihnya mentakrifkan fleksibiliti sebagai keupayaan bekerja dari mana-mana lokasi (24%), memilih hari mereka bekerja (19%), atau dinilai berdasarkan prestasi, bukan bilangan jam bekerja (18%). Responden daripada Malaysia menyuarakan pilihan yang sama.

 

Walaupun majoriti daripada pekerja memilih fleksibiliti jika diberi pilihan, 86% daripada responden di Asia Tenggara bersedia menyokong kemajikan mereka melaksanakan minggu bekerja empat hari - kebanyakannya melihat penambahbaikan kesihatan dan kesejahteraan mereka sebagai sebabnya. 

 

Kebanyakan responden termasuk responden daripada Malaysia, percaya bahawa bekerja empat hari seminggu meningkatkan keseimbangan kidup bekerja (86%) dan kesejahteraan mental (82%), produktiviti (83%), dan membuat mereka rasa lebih setia kepada majikan mereka. 

 

Sebanyak 60% daripada responden di Asia Tenggara sanggup dipotong gaji untuk bekerja kurang sehari dalam seminggu, manakala 54% daripada responden di Malaysia kurang sanggup.

 

 

qualtrics

 

 

Hampir tiga perempat (72%) di Asia Tenggara mengatakan bahawa mereka jangkakan masa bekerja mereka akan menjadi lebih panjang, manakala 58% mengatakan bahawa pelanggan akan kecewa, dan prestasi syarikat akan terjejas. 

 

Di Malaysia, responden mengatakan tempoh bekerja lebih panjang (68%), pelanggan yang kecewa (62%), dan prestasi syarikat (65%) sebagai perkara yang paling membimbangkan mereka.

 

 

qualtrics
Lauren Huntington

 

 

Pakar Strategi Penyelesaian Pengalaman Pekerja Asia Tenggara Qualtrics, Lauren Huntington berkata, dalam kekalutan melaksanakan model bekerja baharu, majikan tidak boleh terlepas pandang hakikat bahawa apa yang pekerja mahu dan telah terbiasa dengan fleksibiliti mengubah jadual bekerja untuk disesuaikan dengan tuntutan kehidupan mereka.

 

“Kami melihat semakin banyak orang yang membuat keputusan kerjaya dan mendapat kepuasan dalam pekerjaan mereka dengan bekerja untuk organisasi yang benar-benar faham dan memenuhi keperluan mereka dan tempat mereka rasa diterima dengan baik. 

 

"Itulah sebabnya perkara paling penting dalam mana-mana model bekerja bukan sekadar bilangan jam atau hari bekerja. Ia keupayaan untuk memahami dan memenuhi keperluan dan jangkaan orang untuk memastikan semua pihak, termasuk pelanggan mendapat manfaat daripada transformasi yang sedang dilakukan," katanya. - DagangNews.com