KUALA LUMPUR 6 April - Sejumlah 73%, bersamaan 21 juta orang di Malaysia, mendapati nombor telefon bimbit mereka telah dibocorkan atau dijual kepada sindiket penipuan atas talian.
Menurut kaji selidik ‘Gogolook 2022 Annual Fraud Report’, ini menempatkan Malaysia di kedudukan pertama dalam kebocoran nombor telefon bimbit, diikuti Taiwan (65%), Jepun (56%) dan Thailand (45%).
Kajian yang telah dijalankan di Taiwan, Jepun, Thailand, Korea dan Malaysia itu turut mendapati kebocoran maklumat sulit utama lain iaitu kata laluan log masuk dan nama bagi Malaysia, Taiwan dan Thailand, diikuti dengan alamat, negara, tarikh lahir dan kebocoran e-mel.
“Apabila sindiket penipuan atas talian mendapat akses kepada nama, nombor telefon dan juga rekod pembayaran dan beli-belah, mereka dengan mudah boleh memulakan serangan panggilan telefon dan mesej,” kata Gogolook dalam satu kenyataan hari ini.
Whoscall, aplikasi ID pemanggil Gogolook, telah mengenal pasti lebih 405.4 juta panggilan telefon dan mesej penipuan sindiket atas talian berlaku di seluruh dunia pada tahun 2022.
Bagaimanapun, syarikat tersebut berkata, sindiket penipuan atas talian mengutamakan teks mesej disebabkan kadar penembusan yang tinggi serta menyumbang kepada 76% daripada mesej digunakan sebagai langkah pertama dalam penipuan.
Penemuan data ini diperkukuhkan lagi dengan serangan penipuan di Jepun sebanyak 95% manakala 80% meliputi Taiwan, Korea dan Malaysia telah menggunakan mesej dan bukannya panggilan telefon.
“Kes penipuan telah meningkat di semua negara dengan pantas selama lebih dua tahun, tanpa sebarang tanda-tanda penurunan malah akan terus meningkat.
Kes penipuan juga telah diadaptasi untuk mengikut cara setempat dengan format, ‘hotspots’ dan akan mengikuti hal ehwal semasa kawasan setempat yang menjadi sukar ditangani tetapi tidak mustahil,” tambahnya.
Syarikat itu berkata, Malaysia memerangi penipuan menggunakan sistem pelaporan baharu melalui Pusat Respon Scam Kebangsaan (NSRC), di mana orang ramai boleh melaporkan penipuan dengan mendail talian hotline 997.
"Terbaru, Polis Diraja Malaysia (PDRM) juga telah bekerjasama dengan Whoscall untuk meningkatkan pangkalan data nombor penipuan, melibatkan perkongsian pangkalan data nombor penipuan daripada portal CCID PDRM kepada sistem data Whoscall," tambahnya.
Whoscall merupakan aplikasi untuk mengenal pasti nombor telefon tidak diketahui, senarai hitam nombor spam dan penapisan mesej mencurigakan yang boleh di muat turun secara percuma.
Gogolook adalah syarikat TrustTech yang meningkatkan keselamatan global dengan teknologi anti-penipuan global dipacu AI dan data serta perkhidmatan pengurusan risiko. -DagangNews.com