82.5% rakyat mahu Program JaminKerja Keluarga Malaysia diteruskan - kajian ILHAM Centre | DagangNews Skip to main content

82.5% rakyat mahu Program JaminKerja Keluarga Malaysia diteruskan - kajian ILHAM Centre

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 10 Nov - Kajian ‘Tahap Penerimaan Rakyat Terhadap Kerajaan Dan Dasar Keluarga Malaysia’ menunjukkan sebanyak 82.5% rakyat mahu Program JaminKerja dan pemberian diskaun saman Polis Diraja Malaysia (PDRM) diteruskan pada masa akan datang.

 

Panel Penyelidikan ILHAM Centre dalam satu kenyataan berkata, ternyata dalam perkara yang melibatkan pemberian 'one-off', subsidi potongan harga saman, bantuan kerajaan secara mudahnya, rakyat amat mengalukan kerana dapat meringankan beban mereka dalam kos sara hidup.

 

Menurutnya, secara umum, skala 77.9% responden bersetuju bahawa konsep Keluarga Malaysia adalah amat baik dalam menjaga keharmonian dan perpaduan kaum di negara ini.

 

"Rakyat menerima idea-idea dasar Keluarga Malaysia sebagai wadah perpaduan.  Sebanyak 75.8% bersetuju bahawa semangat Keluarga Malaysia mampu mengekalkan kemanan dan kerukunan.

 

"Lebih dari separuh responden (59.5%) mengakui bahawa inisiatif, bantuan dan dasar Keluarga Malaysia telah memberi manfaat kepada mereka dan ahli keluarga. Malah 58.5% bersetuju bahawa Keluarga Malaysia juga mampu mencegah perpecahan rusuhan kaum di Malaysia," katanya.

 

Menurut kenyataan itu, selain itu, sebanyak 49.9% menyatakan kerajaan pimpinan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mempunyai misi jelas dalam mengutamakan kebajikan rakyat. 

 

Katanya, ini dizahirkan melalui Bantuan Keluarga Malaysia (BKM) yang membawa manfaat secara bersasar dan komprehensif bagi meringankan beban rakyat.

 

 

pm

 

 

"Namun, melihat kepada usaha kerajaan melalui Pasukan Jihad Tangani Inflasi mampu membendung kenaikan harga barangan hanya dipersetujui sebanyak 46.4%. Ini menunjukkan kerajaan masih berada di peringkat awal dan sedang mengatasi isu harga barangan yang dihadapi oleh pengguna," katanya.

 

Bagaimanapun, hanya 30% yang pernah menghadiri secara fizikal Program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM), katanya.

 

"Ini berkemungkinan disebabkan oleh faktor lokasi penganjuran yang bertumpu di kawasan utama. Ini menandakan bahawa program Aspirasi Keluarga Malaysia harus diteruskan dan diperluaskan hingga sampai ke seluruh peringkat akar umbi," katanya.

 

 

pm

 

 

Dalam pada itu, penilaian persepsi rakyat kepada Dasar Keluarga Malaysia yang digagaskan oleh Ismail Sabri secara umumnya disambut baik walaupun sebahagiannya masih lagi belum jelas mengenai hala tuju negara menerusi dasar ini mampu memberi manfaat kepada mereka secara spesifik. 

 

"Dengan endorsement oleh responden memberikan peratusan memuaskan terhadap pelaksanaan Dasar Keluarga Malaysia walaupun hanya 13 bulan Perdana Menteri mentadbir negara.

 

"Ini kerana, apabila negara melangkah masuk ke fasa endemik, trauma mereka masih lagi berbekas ketika mana mereka berdepan dengan kehilangan punca pendapatan, hilang pekerjaan sehingga segelintir mengibar bendera putih kesan daripada Perintah Kawalan Pergerakan yang dilalui selama lebih dua tahun. 

 

"Selain itu, dari aspek politik pula, drama politik berebut teraju kekuasaan menyebabkan rakyat sangat letih dengan pertembungan kuasa yang berlaku," katanya. - DagangNews.com