ABARO sumbang 200,000 pasang kasut sekolah kepada pelajar kurang bernasib baik sejak 2016 | DagangNews Skip to main content

ABARO sumbang 200,000 pasang kasut sekolah kepada pelajar kurang bernasib baik sejak 2016

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 15 Dis - ABARO menyumbang sejumlah 152 pasang kasut sekolah baharu beserta stokin kepada pelajar B40 di Sekolah Kebangsaan (SK) Jalan Gurney (2) bersempena dengan sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia, baru-baru ini, yang mana menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 200,000 pasang kasut sekolah disumbangkan kepada pelajar kurang bernasib baik sejak 2016.

 

Ketua Pegawai Operasi ABARO, Kevin Soh berkata, pihaknya berbesar hati dapat menyumbang kepada pelajar dari keluarga B40 dengan memberikan mereka sepasang kasut sekolah untuk persediaan tahun akademik 2024. 

 

"Sepasang kasut sekolah mungkin merupakan suatu hal yang kecil bagi kita semua, tetapi ia boleh mengubah kehidupan kanak-kanak yang kurang bernasib baik kerana kini mereka boleh ke sekolah dengan lebih yakin dan selesa. 

 

"Kami cukup terharu dapat melihat kegembiraan yang terpancar di wajah mereka sewaktu mencuba sepasang kasut sekolah yang baru. 

 

"Kami berharap dapat  menggembirakan dan seterusnya membantu semua pelajar sekolah Malaysia dalam menerokai dunia bagi menuju masa depan yang lebih cerah," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Soh berkata, pihaknya bertemu dengan ramai pelajar miskin dari kampung-kampung kecil atau komuniti Orang Asli, namun, ia adalah kali pertama beliau menyaksikan golongan miskin bandar sangat memerlukan bantuan namun sering kali diabaikan hanya kerana mereka tinggal di bandar.

 

 

abaro
Kevin Soh

 

 

Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Jalan Gurney (2), Dr Bazilah A Talip pula berkata, menyedari kadar kemiskinan bandar yang tinggi di sekolah itu, pihak PIBG secara berterusan menganjurkan pelbagai aktiviti untuk mengumpul dana bagi membantu pelajar yang memerlukan. 

 

"Kebanyakan pelajar ini hanya memiliki sepasang kasut sekolah untuk tempoh setahun. Apabila dipakai setiap hari, kasut sekolah mereka cepat rosak dan haus. 

 

 

abaro

 

 

"Malangnya mereka tidak mempunyai kasut ganti jika kasut yang dipakai basah atau rosak. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada ABARO kerana bermurah hati menyediakan keperluan asas iaitu kasut untuk ke sekolah buat pelajar-pelajar ini," katanya.

 

Sementara itu, ABARO menganjurkan kempen Kembali ke Sekolah ABARO yang berlangsung dari 17 Disember 2023 hingga 17 Mac 2024. 

 

 

abaro

 

 

Bagi setiap pembelian kasut sekolah ABARO, RM1 akan disumbangkan kepada dana untuk kasut dan bekalan sekolah bagi membantu kanak-kanak yang kurang bernasib baik.

 

Selain itu, pengguna juga boleh menyertai Pertandingan Belanja & Menang untuk berpeluang memenangi hadiah bernilai sehingga RM20,000 secara keseluruhan- DagangNews.com