Dari kiri: Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor dan R Narayanan pada majlis menandatangani MoU di sini hari ini.
Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 26 Nov - ABB Malaysia Sdn Bhd menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Malaysian Green Technology and Climate Change Corporation (MGTC) sebagai merasmikan kerjasama mereka dalam kecekapan tenaga.
Ketua Pegawai Eksekutif, MGTC, Ts. Shamsul Bahar Mohd Nor berkata, perjanjian itu merupakan satu langkah penting kepada komitmen Malaysia yang diperbaharui ke arah mencapai sifar bersih menjelang 2050 di Persidangan Perubahan Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (COP26).
Katanya, MoU itu juga mencerminkan kerjasama antara dua pihak yang merangkumi kesedaran pembinaan; menyokong pembangunan tahap kecekapan minimum untuk motor elektrik; melibatkan pihak-pihak berkepentingan dalam dialog perkongsian pengetahuan; dan mewujudkan rangkaian perkongsian untuk membantu industri mengenal pasti teknologi dan penyelesaian cekap tenaga yang memberikan nilai yang paling besar.
"Komitmen kami untuk menangani perubahan iklim bermula sebelum Perjanjian Paris ditandatangani. Ia bermula apabila Malaysia mengumumkan sasaran pengurangan karbon di mesyuarat Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) pada tahun 2009.
"Kita telah berusaha sekian lama, namun banyak lagi harus kita lakukan bagi menigkatkan usaha kecekapan tenaga," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu Pengarah Urusan Negara ABB Malaysia, R Narayanan berkata, sebagai sebuah Kumpulan, ABB Malaysia bersedia untuk bekerjasama dengan pihak-pihak berkepentingan melalui empat bidang perniagaan terkemukany aitu Elektrifikasi, Automasi Proses, Gerakan dan Automasi Diskret & Diskret.
"Setiap sektor industri adalah berbeza dan portfolio penuh ABB membolehkan kami menawarkan penyelesaian unik yang membolehkan pemain industri tempatan mengoptimumkan proses mereka tanpa menyebabkan kerosakan yang tidak dapat dipulihkan kepada alam sekitar," katanya.
Tambahnya, MoU tersebut adalah asas dalam komitmen ABB ke arah memberi tenaga kepada transformasi masyarakat untuk masa depan yang mampan.
"Dengan membina ekosistem kerjasama yang melibatkan kerajaan, pelabur, industri dan perniagaan, kita boleh mempengaruhi peralihan terbesar untuk mempercepatkan revolusi tenaga bersih Malaysia," katanya. -DagangNews.com