Oleh NABILA YASMIN RAZIB
[email protected]
KUALA LUMPUR 14 Dis - Bank Pembangunan Asia (ADB) menyemak turun unjuran pertumbuhan ekonominya untuk rantau Asia membangun kepada 7% tahun ini dan 5.3% pada 2022, selepas wabak baharu COVID-19 membawa kepada pertumbuhan yang lebih perlahan pada suku ketiga.
Bank itu sebelum ini menganggarkan rantau berkenaan akan berkembang 7.1% tahun ini dan 5.4% untuk 2022.
Pemangku Ketua Ekonomi Joseph Zveglich, Jr. berkata kemajuan mantap rantau Asia membangun dalam menangani COVID-19, melalui pemberian vaksinasi yang berterusan dan penerapan langkah pembendungan yang lebih strategik, membantu meningkatkan prospek pertumbuhan pada awal tahun.
“Bagaimanapun, wabak baharu pada suku ketiga merencatkan pertumbuhan keluaran dalam negara kasar (KDNK), dan kemunculan varian Omicron menyebabkan timbulnya ketidakpastian baharu.
“Usaha pemulihan perlu mengambil kira perkembangan ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Zveglich berkata kebangkitan semula kes COVID-19 kekal sebagai risiko utama kepada prospek pertumbuhan.
Purata bilangan kes harian di seluruh dunia meningkat kepada hampir 573,000 pada 30 November daripada 404,000 pada 15 Oktober.
Bagi tinjauan Asia Tenggara 2021, beliau berkata ia turut disemak turun sebanyak 0.1 mata peratusan kepada 3% apabila ekonomi di subrantau itu mengenakan sekatan bagi membendung varian Delta COVID-19.
“Unjuran pertumbuhan tahun depan meningkat kepada 5.1% kerana aktiviti ekonomi dijangka terus pulih ekoran pelonggaran sekatan secara keseluruhan.
"Unjuran pertumbuhan bagi Pasifik dikekalkan pada -0.6% tahun ini dan disemak turun kepada 4.7% untuk 2022," tambahnya. -DagangNews.com