Advancecon peroleh subkontrak kerja tanah RM27 juta daripada Mujur Minat bagi projek Gamuda Gardens Park di Rawang | DagangNews Skip to main content

Advancecon peroleh subkontrak kerja tanah RM27 juta daripada Mujur Minat bagi projek Gamuda Gardens Park di Rawang

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 6 Feb - Advancecon Holdings Berhad telah memperoleh subkontrak bernilai RM27.3 juta untuk melaksanakan pembersihan tapak dan pembinaan kerja tanah bagi pembangunan bercampur Gamuda Gardens Park di Rawang, Selangor.

 

Syarikat pembinaan itu berkata surat anugerah tersebut diterima anak syarikatnya, Advancecon Infra Sdn Bhd (AISB) daripada Mujur Minat Sdn Bhd bagi pembangunan bercampur ini.

 

AISB terlibat terutamanya dalam perniagaan menyediakan perkhidmatan kerja tanah dan kejuruteraan awam serta penjualan bahan binaan.

 

Tempoh subkontrak berkenaan adalah bagi tempoh kira-kira 10 bulan bermula 7 Februari hingga 16 Disember 2024.

 

“Tanpa sebarang keadaan tidak dijangka, subkontrak dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan masa hadapan Advancecon sepanjang tempoh kerja dan tidak akan mempunyai sebarang kesan ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham besar kumpulan,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini.

 

Kumpulan menambah bahawa ia bercadang untuk membiayai subkontrak berkenaan melalui dana yang dijana secara dalaman dan/atau pinjaman luar.

 

“Kontrak baharu ini meningkatkan buku pesanan kumpulan kepada RM432 juta yang akan mengekalkan pendapatannya bagi tempoh dua tahun akan datang,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Advancecon, Datuk Phum Ang Kia dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Saham Advancecon ditutup rendah 0.5 sen atau 1.7% pada 28.5 sen hari ini, menilai permodalan pasarannya sebanyak RM166.6 juta.   - DagangNews.com