Aerodyne, Drone Dash jalin kerjasama memperkenalkan perkhidmatan penghantaran Malaysia-Singapura guna dron | DagangNews Skip to main content

Aerodyne, Drone Dash jalin kerjasama memperkenalkan perkhidmatan penghantaran Malaysia-Singapura guna dron

Oleh M. HERMAN HAMID

 KUALA LUMPUR 21 Feb - Aerodyne Group menandatangani perjanjian dengan DroneDash Technologies (DroneDash) untuk memperkenalkan perkhidmatan penghantaran rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura menggunakan teknologi dron.

 

Menurut kenyataan bersama kedua-dua syarikat, perkhidmatan penghantaran dron rentas sempadan akan memanfaatkan teknologi khusus kedua-dua entiti untuk meningkatkan kecekapan logistik di kedua-dua negara dan memajukan keupayaan penghantaran dan rantaian bekalan rantau ini.

 

Perkhidmatan ini direka untuk penghantaran kritikal seperti dokumen penting, barangan elektronik bernilai tinggi, bekalan perubatan dan makanan mudah rosak yang bakal mentakrifkan semula logistik antara Malaysia dan Singapura.

 

Selaras dengan perjanjian itu yang ditandatangani hari ini, Aerodyne dan DroneDash akan menyediakan rangka kerja pengawalseliaan, mendapatkan semua permit yang diperlukan untuk merintis operasi dron pantai ke pantai di sepanjang koridor Malaysia-Singapura.

 

Aerodyne Group, penyedia penyelesaian perusahaan berasaskan dron yang beribu pejabat di Malaysia manakala DroneDash, sebuah syarikat mobiliti udara yang beribu pejabat di Singapura.

 

dron
Paul Yam dan Mudzakkir Hatta (kanan).

 

Menurut kenyataan itu, usaha memperkenalkan perkhidmatan penghantaran dron rentas sempadan antara Malaysia dan Singapura disokong oleh teknologi tanpa pemandu terkini, menandakan era baharu kecekapan logistik.

 

Katanya, operasi perkhidmatan berteraskan sistem navigasi canggih untuk memastikan dron selamat diterbangkan melalui laluan maritim dan udara yang sesak.

 

"Inisiatif ini pada mulanya akan menumpukan kepada mewujudkan laluan penghantaran ke Johor Bahru dan Iskandar Malaysia, yang dipilih secara strategik kerana berdekatan dengan Singapura.

 

"Fasa ini menetapkan asas untuk pengembangan masa depan di seluruh Malaysia, dengan operasi komersial dijangka bermula pada suku ketiga 2024.

 

"Penggunaan dron, mampu membawa sehingga 30 kilogram dan mencapai kelajuan 150 km/j dalam tempoh penerbangan empat jam, menjanjikan penghantaran yang selamat dan cekap," jelas kedua-dua syarikat.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif DroneDash, Paul Yam berkata, organisasi dalam sektor logistik, penghantaran kargo dan perkhidmatan pengangkutan berpeluang memperoleh peningkatan peratusan produktiviti sebanyak dua angka.

 

"Penghantaran menggunakan dron juga bermanfaat untuk alam sekitar dengan pelepasan dan jejak karbon dikurangkan masing-masing sehingga 100 peratus dan 80 peratus," kata Paul Yam, 

 

Menurutnya, penghantaran dron mengubah kepantasan serta jangkauan operasi logistik, dan ia boleh membantu mencapai kawasan terpencil di mana pengangkutan udara dan laut tradisional tidak dapat diakses.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Aerodyne (operasi Malaysia), Mudzakkir Hatta berkata, dengan penubuhan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) baru-baru ini, mereka berbangga dapat memainkan peranan dalam mengukuhkan hubungan ekonomi antara kedua-dua wilayah.

 

"Kami berharap untuk menerokai negeri Johor dengan peningkatan penghantaran ke bahagian lain di Malaysia, menjalin kerjasama perdagangan yang telah lama terjalin dengan kedua-dua negara rakan kongsi," katanya.

 

Dengan pasukan lebih 1,000 profesional dron yang beroperasi di 45 negara, Aerodyne pakar dalam menguruskan aset kritikal, seperti kemudahan solar, infrastruktur telekomunikasi, pertanian dan operasi minyak dan gas.

 

DroneDash ialah syarikat infrastruktur mobiliti udara terkemuka yang bertujuan untuk membuka potensi penuh dron untuk manfaat transformatif dan penggunaan merentas pelbagai sektor ekonomi.

 

Firma itu kini berada di lima negara Asia dan memanfaatkan integrasi inovasi termaju dengan dron dan robotik, untuk menyediakan penyelesaian penyampaian yang mesra alam dan mampan untuk pelanggan dan pihak berkepentingan merentas sektor awam dan swasta.- DagangNews.com