Aerotrain KLIA dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2025, dua bulan lebih awal - MAHB | DagangNews Skip to main content

Aerotrain KLIA dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2025, dua bulan lebih awal - MAHB

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 18 Jun - Projek Penggantian Aerotrain di  Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dijangka siap sepenuhnya pada 31 Januari 2025, dua bulan lebih awal daripada jangkaan awal, kata Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB).

 

Pengendali lapangan terbang itu berkata, garis masa yang dipercepatkan itu dimuktamadkan menerusi kontrak yang dimeterai pada 14 Jun 2024 antara Malaysia Airports (Sepang) Sdn Bhd (MA Sepang) dan usaha sama yang terdiri daripada IJM Construction Sdn Bhd dan Pestech Technology Sdn Bhd (IJMC-Pestech JV).

 

MA Sepang merupakan anak syarikat milik penuh MAHB dan Alstom Transport Systems (M) Sdn Bhd (Alstom).

 

 

"Sebagai peneraju penyelarasan projek, Alstom akan menyelia penghantaran tiga kereta api baharu, menaik taraf dua laluan, dan keseluruhan ujian komprehensif yang diperlukan untuk operasi selamat,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

MAHB berkata, mengikut garis masa projek itu, aerotrain baharu itu dijangka tiba dari China menjelang akhir suku ketiga tahun ini.

 

“Aerotrain itu kemudiannya akan menjalani pentauliahan dan ujian ketat oleh pihak berkuasa berkaitan sebelum operasi rasmi boleh dimulakan,” katanya.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Aerotrain KLIA dijangka beroperasi semula akhir 2024 - MOT

 

Pada Mac 2022, MAHB mengumumkan bahawa mereka telah menganugerahkan Projek Penggantian Aerotrain KLIA, yang mempunyai garis masa penyiapan tiga tahun.

 

Bagaimanapun, projek itu mengalami kelewatan, yang mengakibatkan anugerah projek baharu pada Januari 2024 kepada konsortium yang terdiri daripada Alstom, pengeluar peralatan asal aerotrain dan IJMC-Pestech JV untuk mengemudi projek itu kembali ke landasan.

 

"Walaupun berdepan halangan, MAHB dan rakan kongsi projeknya telah bekerjasama untuk mencapai tarikh siap lebih awal daripada jadual dengan melaksanakan strategi inovatif dan pengurusan projek yang cekap,” katanya.

 

Sementara itu, pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MAHB, Mohamed Rastam Shahrom menegaskan bahawa penyiapan awal projek lebih awal daripada tarikh asal yang dirancang adalah bukti komitmen berterusan bagi menambah baik pengalaman penumpang.

 

“Kemajuan ini bukan sahaja menangani keperluan operasi segera tetapi juga mengukuhkan kedudukan KLIA sebagai hab pengangkutan terkemuka di rantau ini dengan menyediakan perkhidmatan dan infrastruktur bertaraf dunia kepada penumpang kami,” tambahnya. - DagangNews.com