Affin nafi akaun emas patuh syariah ada hubung kait dengan produk, skim pelaburan Quantum Metal | DagangNews Skip to main content

Affin nafi akaun emas patuh syariah ada hubung kait dengan produk, skim pelaburan Quantum Metal

[Foto Affin]
Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 24 Jan - Affin Group menafikan akaun emas patuh syariahnya, Affin Emas-i dan Akaun Affin Emas-i mempunyai kaitan dengan produk atau skim pelaburan lain yang ditawarkan oleh Quantum Metal Sdn Bhd (QMSB).

 

Kumpulan perbankan itu menjelaskan bahawa QMSB hanya bertindak sebagai pengedar emas dan menyediakan emas untuk Affin.

 

Affin menjelaskan bahawa produk emas Affin Islamic Bank Berhad itu ditawarkan dalam bentuk fizikal dan akaun kepada pelanggan Affin sahaja.

 

“Kami ingin memaklumkan bahawa Affin tidak mempunyai kaitan dengan produk atau skim pelaburan lain yang ditawarkan oleh QMSB.

 

“Sebarang andaian oleh pihak luar berhubung persamaan antara Affin Emas-i/Akaun Affin Emas-i dan produk QMSB lain adalah tidak tepat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

 

Affin mengeluarkan kenyataan tersebut bagi menjelaskan dakwaan dan salah nyata fakta yang beredar dalam domain awam berhubung kerjasama perniagaan kumpulan perbankan itu dengan QMSB.

 

Terdahulu, Bank Negara Malaysia (BNM) baru-baru ini telah memberi penjelasan berhubung beberapa dakwaan salah yang tular di media sosial termasuk dakwaan mengatakan aktiviti QMSB diluluskan dan dilesenkan oleh BNM yang ditegaskan sebagai tidak benar.

 

BACA JUGA: Tidak benar dakwaan aktiviti Quantum Metal telah diluluskan dan dilesenkan - Bank Negara Malaysia

 

Sebagai sebuah institusi pelapor di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA), QMSB dikehendaki melaksanakan langkah-langkah pencegahan untuk mengelakkan aktiviti institusi tersebut daripada disalahgunakan sebagai saluran bagi aktiviti pengubahan wang haram atau aktiviti pembiayaan keganasan.

 

BNM juga telah maklum mengenai pelbagai dakwaan menerusi media sosial bahawa semua transaksi masuk dari luar negara memerlukan kelulusan dan pengesahan BNM berhubung dengan AMLA. 

 

"BNM ingin menjelaskan bahawa sebarang aliran masuk dana ke dalam negara, kecuali untuk tujuan peminjaman luar pesisir yang melebihi had tertentu yang diperuntukkan di bawah dasar pertukaran asing, tidak memerlukan pengesahan dan kelulusan daripada BNM terlebih dahulu," katanya. - DagangNews.com