Agensi pemasaran global, Team Lewis rancang buka pejabat utama di Kuala Lumpur | DagangNews Skip to main content

Agensi pemasaran global, Team Lewis rancang buka pejabat utama di Kuala Lumpur

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 11 Dis - Agensi pemasaran global, Team Lewis merancang untuk membuka pejabat utama di Kuala Lumpur bagi menyokong pertumbuhan pesat pasukannya dan seterusnya membina keupayaan kreatifnya dengan ruang studio canggih.

 

Pengarah Urusan Team Lewis Malaysia, Ann Chong berkata pejabat baharu itu menyasarkan untuk memacu pertumbuhan selanjutnya dengan meningkatkan kapasiti rantau ini agar berkembang seiring dengan portfolio pelanggan yang semakin meningkat. 

 

Beliau berkata pejabat di Malaysia mengekalkan budaya kerja yang sangat mudah disesuaikan dan pelbagai, yang telah memainkan peranan penting dalam pertumbuhan agensi. 

 

 

Ann Chong [Foto LinkedIn]
Ann Chong [Foto LinkedIn]

 

 

"Memandang ke hadapan, kami berharap untuk melabur dalam potensi bakat kreatif dan meperluaskan jangkauan kami dalam sektor dengan pertumbuhan tinggi termasuk ESG, AI dan banyak lagi,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

 

Menurut kenyataan tersebut, dengan 25 pejabat di seluruh dunia dan lima di rantau ini, agensi tersebut menamatkan tahun kewangan terakhirnya dengan rekod pendapatan AS$74 juta, di mana rantau Asia Pasifik (APAC) telah mengalami pertumbuhan pesat, dengan hasil melonjak 82% sejak 2020.

 

Team Lewis berkata pejabatnya di Malaysia mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 36% sepanjang tahun lalu dengan kejuruteraan kreatif dan perkhidmatan menjadi penyumbang terbesar.

 

Antara pelanggannya di Malaysia termasuk Converse, Malaysia Digital Economic Corporation (MDEC) dan Book Cabin. 

 

Selain menampilkan ruang studio canggih dan ruang untuk bekerjasama dengan komuniti kreatif tempatan dan antarabangsa, pejabat baharu itu akan menjadi pejabat utama dan ruang kreatif di Kuala Lumpur untuk memberi perkhidmatan di seluruh rantau ini.

 

Ia juga bakal mempunyai kapasiti untuk pertumbuhan pesat pasukan perkhidmatan kreatifnya, termasuk pembangun bahagian hadapan, pereka grafik, pengeluar dan pakar AI kreatif.

 

Selain itu, pejabat tersebut akan memupuk kreativiti, kerjasama dan menyumbang kepada komuniti bakat yang semakin berkembang di negara ini. - DagangNews.com