Agong sudah jadi pelabur Citaglobal sejak 2016, tidak campur tangan urusan harian | DagangNews Skip to main content

Agong sudah jadi pelabur Citaglobal sejak 2016, tidak campur tangan urusan harian

Tan Sri Mohamad Norza Zakaria bersama barisan Lembaga Pengarah dan pengurusan kanan Citaglobal semasa EGM pada 6 Oktober 2022.
Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 14 Okt - Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah menjadi pelabur di dalam Citaglobal Bhd sejak 2016, ketika syarikat itu dikenali sebagai WZ Satu Bhd.

 

Pengerusi eksekutif kumpulan Citaglobal dan presiden Tan Sri Mohamad Norza Zakaria, semasa mesyuarat agung luar biasa kumpulan itu 6 Oktober lepas, berkata tiada inferens oleh Baginda terhadap syarikat itu memandangkan Baginda hanyalah pelabur pasif.

 

“Apabila kita bercakap tentang Agong, baginda telah melabur di dalam syarikat ini sejak 2016. 

 

"Jadi Baginda sebagai pelabur telah wujud semasa syarikat itu naik dan turun, dan kini akan memulakan usaha baharu atau perjalanan baharu.

 

“Selama ini, Seri Paduka pada dasarnya hanya menjadi pelabur yang pasif, jadi baginda memberi kepercayaan kepada pihak pengurusan untuk melakukan yang terbaik untuk syarikat. Tiada campur tangan Baginda berkaitan perkara ini.

 

“Dan seperti yang saya katakan, bukanlah apabila syarikat itu berada dalam keadaan baik, baharu Baginda melabur tetapi baginda berada di sekeliling walaupun ketika syarikat itu berada dalam hari yang suram dan gelap ini dengan menanggung banyak kerugian. 

 

"Jadi ia mempunyai nilai penting kepadanya dan Baginda ingin melihat pengurusan syarikat membawanya ke tahap yang lebih baik,” katanya.

 

Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang memegang 12.44% atau 132.12 juta saham merupakan pemegang saham terbesar di dalam Citaglobal.


 

agong
                         Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

 


Citaglobal, yang perniagaannya sekarang termasuk kejuruteraan awam dan pembinaan, minyak dan gas, dan pembuatan, berhasrat untuk mengubah kumpulan itu menjadi sebuah konglomerat yang melibatkan tenaga boleh diperbaharui, pengurusan kemudahan, telekomunikasi, infrastruktur dan sektor teknologi.

 

Semalam, saham Citaglobal menjadi salah satu kaunter paling aktif di Bursa Malaysia dengan harga sahamnya mencecah paras tertinggi 29 sen — kali terakhir dilihat lebih empat tahun lalu.

 

Kali terakhir harga saham Citaglobal mencecah 29 sen ialah apabila ia berakhir pada 21 Ogos 2018, menurut Bloomberg. - DagangNews.com