Ahmad Zahid lepas tanpa bebas daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan AMLA | DagangNews Skip to main content

Ahmad Zahid lepas tanpa bebas daripada 47 tuduhan pecah amanah, rasuah dan AMLA

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

KUALA LUMPUR 4 Sept - Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin, atas 47 tuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram (AMLA) membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

 

Hakim, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) memutuskan demikian selepas Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Mohd Dusuki Mokhtar memberitahu bahawa, Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menerima representasi Timbalan Perdana Menteri ini, bagi menggugurkan kesemua tuduhan.

 

Semasa prosiding, Mohd Dusuki berkata, pihak pendakwaan ingin memberhentikan semua prosiding terhadap Ahmad Zahid, 70, berdasarkan 11 alasan, mengikut peruntukan 145 Perlembagaan Persekutuan.

 

Menurutnya, pada 29 Januari lalu, pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memaklumkan kepada AGC bahawa, siasatan lanjut hendaklah dibuat berhubung kes berkenaan.

 

“Tidak adil untuk menangguhkan perbicaraan kes itu ke satu tempoh yang tidak tentu maka kami mohon tertuduh dilepas tanpa dibebaskan (DNAA),” katanya.

 

Bagaimanapun, peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid membantah permohonan itu dan memohon agar anak guamnya dilepas dan dibebaskan (DNA).

 

Ahmad Zahid, 70, telah menghantar surat representasi setebal 200 muka surat kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) sebagai asas pertimbangan agar pertuduhan terhadapnya digugurkan.

 

BACA JUGA: "Kebenaran terserlah, Ahmad Zahid mangsa pendakwaan politik" - Asyraf Wajdi

 

Surat representasi pertama telah dikemukakan pada Januari manakala kedua, dihantar kepada AGC dengan fakta dan bukti baharu, pada Februari, lapor Sinar Harian.

 

BACA JUGA: Kes Ahmad Zahid: Bazir masa mahkamah, wang rakyat - Hakim

 

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dibicarakan atas 47 pertuduhan iaitu lapan tuduhan rasuah, 12 pecah amanah dan 27 pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi. - DagangNews.com