Ainol Amriz Ismail dilantik sebagai CEO baharu Institut Akhbar Malaysia (MPI) | DagangNews Skip to main content

Ainol Amriz Ismail dilantik sebagai CEO baharu Institut Akhbar Malaysia (MPI)

Oleh Mohamad Iman

KUALA LUMPUR 19 Sept – Institut Akhbar Malaysia (MPI) hari ini mengumumkan pelantikan Ainol Amriz Ismail sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu berkuatkuasa 1 Oktober ini.

 

Sebelum ini, beliau adalah Penolong Pengarang UtusanTV dan Ahli Majlis Pentadbir MPI.

Presiden MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, pelantikan Ainol Amriz itu dipersetujui Ahli Majlis Pentadbir MPI setelah proses temuduga di mana pertimbangan berdasarkan kepada pengalaman dan kepakaran beliau dalam media, komunikasi dan tenaga pengajar industri.

 

Pelantikan Ainol Amriz adalah bagi menggantikan Datuk Mustapa Omar yang akan menamatkan kontrak perkhidmatannya pada 30 September ini untuk memberi tumpuan dalam bidang yang lain.

 

“MPI merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Datuk Mustapa di atas khidmat yang cemerlang khusus dalam mentransformasi MPI ke arah lebih dinamik dan telus.

 

“Kami menghormati keputusan Pak Mus untuk melepaskan jawatan sejak Mac lalu selepas mencapai sasarannya dan memohon beliau menangguhkannya sehingga kami mendapat calon sesuai untuk dipanggil temuduga,” katanya dalam kenyataan.

 

Ainol Amriz berkelulusan Sarjana Sains Sosial (Pengurusan Komunikasi) dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kini merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) Fakulti Sastera dan Sains Sosial di Universiti Malaya (UM).

 

Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dalam kewartawanan, media dan komunikasi dan pernah berkhidmat di Utusan Melayu (M) Berhad (UMMB) sebagai Pengurus Jabatan Pengarang dan Pengarah Eksekutif Sibermedia Sdn Bhd, anak syarikat UMMB iaitu syarikat penyedia latihan.

 

Beliau juga adalah jurulatih berakreditasi (certified) dari Human Resources Development Corporation (HRD Corp), agensi di bawah Kementerian Sumber Manusia sejak tahun 2018 dan aktif mengajar di seluruh negara dalam skop media, komunikasi dan kandungan digital selain merupakan salah seorang Ahli Panel bagi Kajian Semula Standard Program: Pengajian Media dan Komunikasi, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) 2023-2025.

 

Ainol Amriz yang pernah menjadi Ahli Majlis Pentadbir MPI pada tahun 2016-2018 turut terlibat dalam pendidikan sebagai Pensyarah Sambilan pada beberapa semester di Fakulti Bahasa Moden dan Komunikasi, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

 

Sementara itu Ainol Amriz menyatakan tumpuan kini adalah merancakkan program latihan berdasarkan keperluan semasa selain merangsang minat penyertaan kepada Hadiah Kewartawanan Malaysia dalam kalangan pengamal media.

 

“Terima kasih di atas kepercayaan yang diberikan MPI ini. Tentulah banyak cabarannya. Dengan teras kepercayaan semua pihak meliputi pengamal media, pihak industri dan akademik kepada MPI, usaha berterusan dan komitmen yang tinggi dari pengurusan, kita yakin MPI terus berada di pentas cemerlang,’’ kata Ainol Amriz. - DagangNews.com