AirAsia bersedia terima penumpang, komited pastikan keselamatan & pematuhan SOP | DagangNews Skip to main content

AirAsia bersedia terima penumpang, komited pastikan keselamatan & pematuhan SOP

Oleh NABILA YASMIN RAZIB

[email protected]

 

KUALA LUMPUR 11 Okt. - AirAsia telah memanfaatkan tempoh sekatan perjalanan selama satu tahun setengah untuk menaik taraf dan memperbaharui prosedur penerbangannya demi keselamatan dan kesejahteraan semua pihak.

 

 

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata,  komitmen kumpulan itu juga seiring jangkaan pertambahan penumpang susulan langkah kerajaan membuka semula sempadan negeri serta membenarkan rakyat untuk keluar negara bermula Isnin.

 

 

Jelasnya, AirAsia hanya akan menerima tetamu yang telah divaksin sepenuhnya dalam penerbangannya, dan memastikan semua penerbangan dikendalikan oleh juruterbang dan kru kabin yang telah divaksin sepenuhnya.

 

 

"Sebagai permulaan pembukaan perjalanan domestik, AirAsia akan mengendalikan sebanyak 61 penerbangan harian ke 16 destinasi domestik.

 

 

"Lebih banyak laluan dan kekerapan akan ditambah apabila permintaan perjalanan meningkat seiring dengan pembukaan semula lebih banyak destinasi percutian dalam masa terdekat dan tertakluk kepada persetujuan daripada pihak berkuasa," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Tambahnya, AirAsia juga akan terus menjalin kerjasama dengan semua pihak berkepentingan bagi memastikan standard pematuhan keselamatan tertinggi bagi setiap penerbangan yang dikendalikan.

 

 

Beliau berkata, AirAsia juga menjadi peneraju sistem tanpa sentuhan dengan mewajibkan proses daftar masuk secara kendiri melalui airasia Super App.

 

 

"Selain boleh mengesahkan dokumen kesihatan secara segera melalui integrasi dengan aplikasi MySejahtera, sistem canggih ini juga membolehkan mereka melalui proses pelepasan dan menaiki pesawat menggunakan pas masuk elektronik (e-Boarding Pass).

 

 

"Ia juga meminimumkan interaksi fizikal dengan kakitangan seperti sentuhan pas masuk menggunakan kertas dan salah satu kunci untuk membendung penyebaran COVID-19 dan virus lain," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

 

 

Beliau berkata, airasia Super App adalah aplikasi terbaik kerana ia adalah satu-satunya aplikasi perjalanan yang diperlukan pelanggan. -DagangNews.com