AirAsia diiktiraf sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia 2023 AirlineRatings.com | DagangNews Skip to main content

AirAsia diiktiraf sebagai syarikat penerbangan tambang rendah terbaik Asia 2023 AirlineRatings.com

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 31 Mei - Kumpulan syarikat penerbangan AirAsia dianugerahkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Asia 2023 oleh AirlineRatings.com pada Anugerah Kecemerlangan Syarikat Penerbangan tahunannya.

 

Dilancarkan pada 2001 oleh Datuk Kamarudin Meranun dan Tan Sri Tony Fernandes dengan hanya dua buah pesawat, AirAsia mengalami pertumbuhan yang menakjubkan sejak dua dekad lalu dan mendominasi rantau Asia, serta mempunyai jumlah pesawat dan destinasi terbesar di rantau ini.

 

Kecemerlangan syarikat penerbangan berpangkalan di ASEAN itu adalah salah satu kisah kejayaan besar industri penerbangan. 

 

Lebih-lebih lagi apabila ia terpaksa menghadapi pelbagai krisis, ditambah pula dengan cabaran kekangan oleh kerajaan tempatan untuk melindungi syarikat penerbangan nasional masing-masing.

 

Syarikat penerbangan di bawah Kumpulan AirAsia, termasuk AirAsia Malaysia, AirAsia Thailand, AirAsia Filipina dan kumpulan syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Malaysia dan AirAsia X Thailand terus melakar sejarah dalam industri penerbangan di Asia dan global.

 

Ketua Pengarang AirlineRatings.com, Geoffrey Thomas berkata bahawa kemenangan ini 'amat wajar'.

 

Katanya, Tony Fernandes dan Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia X Malaysia, Benyamin Ismail telah melakukan tugas yang cemerlang dalam membimbing kumpulan syarikat penerbangan itu untuk mendominasi pasaran mereka.

 

 

tony
                                           Tan Sri Tony Fernandes

 

 

"Kumpulan syarikat penerbangan ini telah menjadikan perjalanan mampu milik untuk ratusan juta penumpang di seluruh Asia, dan mereka menawarkan nilai yang luar biasa serta pengalaman perjalanan hebat," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Sementara itu, Tony pula berkata, pihaknya dengan rendah diri untuk menerima anugerah itu selepas melalui antara cabaran terbesar dalam sejarah industri penerbangan dan berterima kasih kepada pakar di AirlineRatings.com atas sokongan berterusan mereka dan menghargai kecemerlangan penerbangan.

 

"Sebagai sebuah platform ekosistem penerbangan dan pengembaraan terkemuka, kami akan terus memberikan nilai terbaik merentas semua perniagaan kami, termasuk platform airasia Superapp (yang mempunyai syarikat penerbangan, hotel, e-panggilan, makanan), teknologi kewangan, penyelenggaraan pesawat, dan kargo, yang merupakan antara paling pesat berkembang di rantau Asia Tenggara," katanya.

 

Benyamin berkata, pihaknya sentiasa menumpukan pengalaman perjalanan terbaik dari segi keselamatan dan tambang berpatutan untuk penerbangan jarak sederhana melebihi lima jam merentasi Asia Pasifik dan seterusnya. 

 

"Kini, kami telah melancarkan semula destinasi paling popular kami ke India, Korea Selatan, Australia, Jepun, China dan New Zealand dan mempunyai banyak lagi destinasi menarik yang akan diumumkan tidak lama lagi untuk memenuhi peningkatan permintaan," katanya.

 

Tambah beliau, ciri 'Premium Flatbed' merupakan antara tempat duduk kelas perniagaan kos rendah terbaik dan perkhidmatan dalam penerbangan mereka yang luar biasa adalah salah satu sebab para penumpang terus terbang bersama AirAsia. 

 

"Kami juga ingin berterima kasih kepada pasukan di AirlineRatings.com atas sokongan berterusan mereka mengiktiraf kami sekali lagi sebagai antara syarikat penerbangan terkemuka dalam kategori kami.," katanya. - DagangNews.com