AirAsia komited pacu pasaran India dengan pertumbuhan rangkaian antarabangsa | DagangNews Skip to main content

AirAsia komited pacu pasaran India dengan pertumbuhan rangkaian antarabangsa

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 14 Nov - AirAsia komited untuk menghubungkan India ke serata dunia dan kekal dalam landskap industri penerbangan India, seterusnya menerbangkan jutaan pelancong India ke 130 destinasi di Asia dan Asia Pasifik.

 

AirAsia kini mengendalikan 10 laluan antarabangsa secara terus dari India ke Malaysia dan Thailand dengan 104 penerbangan mingguan menerusi syarikat penerbangan jarak dekat AirAsia Malaysia dan AirAsia Thailand. 

 

Syarikat penerbangan jarak sederhana, AirAsia X Malaysia juga mengendalikan dua laluan terus dari New Delhi dan Amritsar ke Kuala Lumpur dengan lapan penerbangan mingguan. 

 

Pertumbuhan berterusan rangkaian AirAsia ke India menawarkan pengalaman perjalanan yang lebih menyeluruh dan lancar kepada para tetamu AirAsia dari seluruh India ke rangkaian luas di Asia dengan lebih nilai.

 

Selain itu, melalui perkhidmatan sambungan 'Fly-Thru', para tetamu AirAsia kini boleh melakukan perjalanan dari India ke Asia Tenggara, Australia, New Zealand, dan destinasi menarik lain dengan satu tempahan, menjadikan pengalaman perjalanan ke destinasi yang lebih jauh lebih mudah diakses dan berpatutan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Aviation Group Limited, Bo Lingam berkata, India merupakan pasaran penting bagi AirAsia dan berikutan perubahan operasi di negara itu, pihaknya tetap komited untuk memacu pasaran ini. 

 

"Kami telah menerbangkan seramai 1.6 juta tetamu dari India antara bulan Januari dan November tahun ini, menunjukkan kekuatan berterusan tambang lebih nilai dan rangkaian hebat kami.

 

"Demi mengukuhkan kehadiran kami di India, kami berbesar hati untuk mengumumkan pelancaran laluan baharu ke Thiruvananthapuram tidak lama lagi. Kami berazam untuk menjadikan perjalanan antarabangsa dari India bukan hanya mudah diakses, tetapi juga berpatutan untuk semua," katanya dalam kenyataan media di sini, hari ini.

 

Ketua Komersial serantau AirAsia (India), Manoj Dharmani berkata, AirAsia tetap komited terhadap pasaran India, dan walaupun tidak lagi mengendalikan penerbangan domestik, India masih menjadi fokus utama. 

 

Katanya, pihaknya menyaksikan pertumbuhan luar biasa di negara tersebut dengan menghubungkan banyak bandar dan wilayah di India ke serata dunia serta 11 destinasi di India. 

 

"Kami kini menawarkan 104 penerbangan antarabangsa mingguan dari India dan berharap dapat terus memacu pasaran India dengan meningkatkan lagi kesalinghubungan dan aksesibiliti untuk para tetamu," katanya.

 

Terokai dunia dengan AirAsia dari Kuala Lumpur ke Kolkata, Tiruchirappalli, Kochi, Hyderabad, dan banyak lagi, daripada RM309 tambang termasuk semua sehala untuk tempoh perjalanan dari sekarang hingga 30 September 2024. 

 

Tambang promosi kini boleh ditempah di laman web dan airasia Superapp bermula hari ini hingga 26 November 2023. - DagangNews.com