AirAsia kurang terjejas isu gangguan komponen, tenaga kerja sektor penerbangan - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

AirAsia kurang terjejas isu gangguan komponen, tenaga kerja sektor penerbangan - MIDF Research

Gambar AirAsia
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 13 Sept - Capital A Bhd kekal menjadi pilihan kerana perniagaan penerbangannya iaitu AirAsia kurang terjejas daripada gangguan terbaharu dalam sektor tersebut, kata MIDF Research.

 

Kata firma penyelidikan itu, keseluruhannya isu kekurangan komponen alat ganti dan tenaga kerja di samping kelewatan penghantaran pesawat baharu mungkin menyebabkan pemulihan jumlah penumpang secara sepenuhnya akan tertunda.

 

"Capital A pula tidak mengurangkan pesawatnya dengan ketara semasa pandemik, membolehkan mereka memberi tumpuan kepada pengembangan dan mencipta peluang untuk memanfaatkan kekosongan kapasiti yang ditinggalkan pesaing mereka. 

 

"Di sisi lain, Kumpulan ini sedang berada di peringkat akhir dan dijangka menyelesaikan pelan regularisasi PN17 mereka menjelang suku keempat tahun kewangan 2024 (4QCY24)," katanya yang mengekalkan saranan Beli Capital A dengan TP RM1.06 sesaham dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Sehubungan itu, kata MIDF Research, pemulihan sepenuhnya trafik penumpang kini adalah soal bila dan bukan jika.

 

"Pada 1HCY24, pemulihan kapasiti tempat duduk keseluruhan mencapai 85%, dengan faktor muatan purata meningkat kepada 79% (3.4 mata peratusan di atas 1HCY19). 

 

"Tinjauan ringkas terhadap angka trafik penumpang Julai 24 menunjukkan pemulihan yang kuat sebanyak 92%, dipacu oleh sektor antarabangsa, yang telah mengatasi prestasi sektor domestik sejak November 23. 

 

"Menyokong pemulihan ini ialah kembalinya dan pengenalan syarikat penerbangan asing, menjadikan jumlah keseluruhan syarikat penerbangan yang beroperasi di Malaysia kepada 71 (FY19: 69 syarikat penerbangan), dengan 5 lagi dijangka pada 2HCY24," jelasnya.

 

Kata MIDF Research, Capital A telah memberi panduan bahawa trafik penumpang dijangka pulih kepada 89% pada 3QCY24, disokong oleh pemulihan kapasiti tempat duduk sebanyak 82%.

 

"Persekitaran hasil yang tinggi memberikan potensi tambahan, dengan tambang purata meningkat kepada RM239 pada 1HFY24 – +34% di atas tahap sebelum COVID – kerana permintaan terus melebihi pemulihan kapasiti.

 

"Pengukuhan ringgit berbanding dolar AS juga memberikan keuntungan, memandangkan hampir separuh daripada kos operasi penerbangan adalah dalam dolar AS. 

 

"Kami menganggarkan bahawa perubahan sebanyak 5% dalam andaian ringgit berbanding dolar kami akan memberi impak sebanyak 10% terhadap pendapatan FY24," ujarnya. - DagangNews.com