AirAsia tambah laluan penerbangan baharu KL ke Trivandrum mulai 21 Februari 2024 | DagangNews Skip to main content

AirAsia tambah laluan penerbangan baharu KL ke Trivandrum mulai 21 Februari 2024

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 22 Nov - AirAsia memperkenalkan laluan penerbangan baharu dari Kuala Lumpur ke bandar selatan India, Thiruvananthapuram atau Trivandrum, menjadi laluan terus keduanya ke negeri Kerala, selain 12 penerbangan mingguan ke Kochi.

 

Dalam satu kenyataan media hari ini, syarikat penerbangan tambang rendah itu berkata penerbangan pertama yang akan dilancarkan pada 21 Februari 2024 dengan empat penerbangan mingguan dijangka mendapat sambutan bagi mereka yang ingin menerokai keindahan dan keunikan kota Kerala.

 

 

AirAsia

 

 

AirAsia Malaysia (AK) kini mengendalikan enam laluan terus ke bandar-bandar di Selatan India iaitu Chennai, Tiruchirappalli, Hyderabad, Kochi, Bengaluru, dan Kolkata, sementara AirAsia X Malaysia (D7) menghubungkan dua laluan terus ke Utara India iaitu Amritsar dan New Delhi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif AirAsia Malaysia, Riad Asmat berkata syarikat itu telah kembali melancarkan laluan ke India selepas pandemik sejak tahun lepas dan laluan baharu ini menandakan laluan kesembilan syarikat penerbangan ini ke India secara keseluruhan dengan sejumlah 71 penerbangan mingguan.

 

 

Riad Asmat
Riad Asmat

 

 

“India merupakan salah satu destinasi paling popular, di mana kami mempunyai bahagian pasaran sebanyak 47% antara kedua-dua negara ini.

 

“Kami telah mengubah landskap perjalanan udara di India secara menyeluruh dan telah menghubungkan jutaan pelancong ke Malaysia dengan tambang berpatutan.

 

“Kami akan terus bekerjasama dengan kerajaan negeri di India bagi mempromosikan industri pelancongan dan memacu perjalanan udara ke Trivandrum serta bandar-bandar lain di India,” ujar beliau.

 

Sempena menyambut laluan baharu ini, AirAsia menawarkan tambang promosi bermula hari ini sehingga 26 November 2023 dari Kuala Lumpur ke Trivandrum bermula RM199 untuk tambang sehala termasuk 20kg bagasi daftar masuk secara percuma.

 

Tempahan boleh dibuat untuk perjalanan antara 21 Februari 2024 dan 19 Mac 2025.  - DagangNews.com