Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Ogos - Airbnb kini menjadi tonggak kepada industri pelancongan negara apabila berjaya menyumbang sebanyak RM3.98 bilion kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia serta menyokong lebih daripada 52,100 pekerjaan tempatan pada tahun 2019.
Perkara tersebut dinyatakan dalam laporan Oxford Ecomics, Impak Ekonomi Airbnb di Malaysia yang meneliti kesan keseluruhan impak ekonomi Airbnb di seluruh negara antara tahun 2015 dan 2019.
Pengarah Perundingan Ekonomi Oxford Economics di Asia, James Lambert berkata, Airbnb memainkan peranan penting dalam mendukung pemulihan pelancongan domestik dengan membantu orang ramai untuk mengubah destinasi pelancongan antarabangsa kepada domestik selain menemui kawasan baharu untuk dilawati.
"Dengan cara baharu ini, Airbnb dapat memainkan peranan kepada penyelesaian penginapan," jelasnya dalam kenyataan hari ini.
Airbnb adalah pasaran terbesar di dunia bagi tempat penginapan dan aktiviti yang mampu menawarkan hingga tujuh juta penginapan serta 40,000 aktiviti yang dirangka khas.
Pada 2015 hingga 2019, pelanggan Airbnb membelanjakan RM11.8 bilion dengan peningkatan sebanyak 79.6% pada kadar tahunan.
Meskipun kadar perbelanjaan utama adalah di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang, Airbnb turut memberi manfaat perbelanjaan terhadap beberapa negeri seperti Johor dan Sabah apabila kadar KDNK nasional meningkat kepada dua kali ganda pada 2015 hingga 2019 dengan masing-masing daripada 4.0% kepada 9.3% dan 4.9% kepada 10.7%.
Sementara itu, Pengarah Dasar Awam, Asia Pasifik Airbnb, Mike Orgill berkata, laporan tersebut mengesahkan bahawa Airbnb adalah cara yang berkesan untuk mengembangkan sektor pelancongan Malaysia dengan membantu komuniti dan mencipta puluhan ribu peluang pekerjaan tempatan.
"Kami percaya, laporan itu memberi pandangan yang tepat pada masanya untuk masa hadapan dalam mempertimbangkan sama ada kerangka kerja kawal selia semasa kekal relevan dan bersesuaian.
"Kami komited untuk bekerjasama dengan kerajaan, agensi pelancongan, komuniti dan pemegang kepentingan tempatan lain di Malaysia untuk membantu memulihkan industri pelancongan sekali gus membuka jalan ke arah pemulihan sektor pelancongan yang amat diperlukan," jelasnya. - DagangNews.com