KUALA LUMPUR 6 Mei - Airbus melihat wujudnya keperluan untuk Malaysia menggantikan aset helikopter yang sudah berusia terutamanya yang digunakan oleh agensi penguatkuasaan undang-undang.
Sehubungan itu, kata Airbus, H135 dicadangkan sebagai penyelesaian yang ideal untuk memenuhi keperluan ini, mengambil kira popularitinya di seluruh dunia.
"Ini terutamanya dalam kalangan agensi penguat kuasa undang-undang," katanya dalam kenyataan media sempena pameran Defence Services Asia (DSA) di ibu negara.
ARTIKEL BERKAITAN: Airbus Helicopters tawar bida kontrak bekal 12 pesawat H225M TUDM
Melihat ke hadapan, Airbus mengenal pasti peluang untuk memenuhi permintaan kawasan ini yang semakin meningkat untuk peningkatan keupayaan dan pengangkutan ketenteraan yang dimodenkan.
"Syarikat ini menawarkan kepada Malaysia satu armada pesawat campuran A400M-C295 yang komprehensif untuk menangani keperluan strategik dan taktikal dengan berkesan.
"Pengesahan semula komitmen Airbus menegaskan kerjasama berterusan syarikat dengan Malaysia, menyumbang kepada persediaan pertahanan dan kemajuan teknologi negara," jelasnya.
ARTIKEL BERKAITAN: Airbus Helicopters tawar bida kontrak bekal 12 pesawat H225M TUDM
Tambah syarikat itu, Airbus bersedia menyokong pertumbuhan untuk aset helikopter baru di Malasia bagi memperkuat pertahanan dan keselamatan negara.
Katanya, H225M yang dikenali kerana kebolehannya yang terbukti dalam pertempuran mampu memenuhi pelbagai keperluan misi, termasuk operasi khas dan misi mencari dan menyelamat.
"Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sudah mengoperasikan 12 helikopter H225M untuk tugas ketenteraan dan misi kemanusiaan," ujarnya.
Airbus selaku pengeluar pesawat terkemuka global juga mengulangi komitmen bagi menyokong pertumbuhan sektor aeroangkasa dan pertahanan Malaysia termasuk meningkatkan pelaburan di negara ini.
Pada pameran DSA minggu ini, pengurusan Airbus menekankan peranan penting Malaysia sebagai pangkalan pelanggan utama melibatkan pelbagai jenis pesawat dan produk.
Katanya, ini termasuk pesawat komersial, helikopter, aset pertahanan dan teknologi angkasa.
Jelasnya, sebagai rakan strategik yang sudah lama bersama Malaysia, Airbus telah membangunkan kerjasama perindustrian yang kukuh, memberikan sumbangan yang besar kepada ekonomi tempatan.
"Syarikat ini bersedia mengingkatkan perkongsian dan pelaburan sedia ada dalam ekosistem Malaysia.
"Airbus telah merancang untuk melabur dalam simulator penerbangan penuh helikopter ketiga di Subang, yang dijadualkan mula beroperasi pada tahun 2026," katanya dalam kenyataan media hari ini. - DagangNews.com